KUALA LUMPUR: DAP mengecam Belanjawan 2014
kerajaan yang dilihat longgar daripada pelbagai aspek dan tidak
mempunyai langkah efektif untuk membantu rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun beliau
berbesar hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
dalam pembentangan Belanjawan 2014 itu untuk menambah peruntukan kepada
keselamatan, namun tidak ada sebarang langkah khusus untuk mengatasi
masalah rasuah yang berleluasa.
Beliau juga menyelar tindakan kerajaan melaksanakan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akhirnya akan menyusahkan rakyat
terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.
“Malaysia seperti yang kita ketahui dilabel sebagai juara
dunia dalam rasuah oleh media barat dan Transparency International,
persoalannya kini mengapa tidak ada inisiatif baru ke arah membendung
perkara itu.
“Saya mengalu-alukan peruntukan yang lebih untuk keselamatan, tetapi berharap ia akan digunakan dengan betul.
“Kita tidak mahu lagi mendengar sebarang kecuaian tidak
masuk akal seperti kehilangan senjata di mana-mana dan kemudian tidak
mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyelesaikannya.
“GST pula akan membebankan golongan pertengahan dan miskin
negara. Di Malaysia, hanya enam peratus penduduk membayar cukai dan
hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena
bayar cukai,” katanya ketika ditemui di Parlimen.
Ahli Parlimen DAP Bagan itu juga berkata, pelaksanaan GST
jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berlaku adil kepada rakyat malah
cuba untuk menyukarkan lagi kehidupan mereka.
“Mereka bukan sahaja melaksanakan GST mulai April 2015,
tapi turut menghapuskan subsidi gula. Pada saya ini bukannya langkah
sesuai untuk berjimat,” tegasnya.
Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pula menegaskan,
GST sebenarnya tidak membantu ekonomi negara tapi akan membawa bencana
pada ekonomi.
“Belanjawan 2014 ini ternyata tidak mempunyai idea baru tetapi hanya meneruskan model ekonomi yang diamalkan BN sejak dulu.
“Apa yang baru ialah GST, ia sebenarnya tidak membantu
ekonomi kita secara keseluruhan, ia akan mengakibatkan kemelesetan
ekonomi.
“Apabila golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai wang
yang cukup untuk membeli ia akan menyebabkan berlaku ‘domestic
consumption’ lebih rendah dan dengan itu akan menyebabkan kemelesetan,”
ujarnya yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan.
Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula menganggap pelaksanaan GST sama sekali tidak diperlukan di Malaysia.
“Saya sudah menjangkakan GST akan diumumkan dalam
pembentangan Belanjawan 2014, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-13,
jika mereka melakukan sebelum PRU-13 ia akan membawa masalah kepada
mereka, jadi mereka melaksanakan sekarang.
“Kami sudah berkali-kali menentang GST ini, ia sama sekali
tidak diperlukan. Walaupun mereka meningkatkan kutipan hasil tetapi
perbelanjaan tetap terus naik.
No comments:
Post a Comment