Monday, October 21, 2013

Naib Presiden Umno: Ali jadi mangsa transformasi?

 
Perwakilan Sabtu lalu mengesahkan pilihan 2,500 orang perwakilan yang mengundi mereka bertiga pada tahun 2009 dahulu. 

ANALYSIS
 



PETALING JAYA: Seramai 146,000 perwakilan dari 191 Bahagian Umno di seluruh negara mengekalkan status quo bagi jawatan Naib Presiden Umno Sabtu lalu.

Mereka mahu Pasukan Trio yang terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meneruskan kesinambungan perjuangan untuk membantu presiden dan timbalan presiden menghadapi PRU ke-14 nanti.

Perwakilan Sabtu lalu mengesahkan pilihan 2,500 orang perwakilan yang mengundi mereka bertiga pada tahun 2009 dahulu.

Kalau dahulu 2,500 orang yang menentukan kepimpinan Umno tetapi kini 146,000 orang yang menentukan penyambung warisan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Umno.

Mereka memilih pemimpin yang ada kedudukan dalam kerajaan pusat. Orang yang ada kedudukan di negeri, Datuk Mukhriz Mahathir tewas. Begitu juga orang yang tidak ada kedudukan dalam kerajaan seperti Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Kalau dahulu, perwakilan seramai 2,500 orang memilih dua orang Naib Presiden yang ada kedudukan dalam kerajaan tetapi mereka memilih satu orang yang tiada kedudukan dalam kerajaan. Ini berlaku pada tahun 1978, 1981, 1984 dan 1990.

Pada tahun 1978, Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Pelajaran, Datuk Musa Hitam menang. Yang tiada jawatan dalam kerajaan iaitu Ghafar Baba turut menang.

Ghafar menang juga pada tahun 1981 selain dari Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. Pada tahun 1984, buat kali ketiga Ghafar yang tiada jawatan dalam kerajaan menang selain dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Pada tahun 1990, Pak Lah yang tiada jawatan dalam kerajaan menang kerusi tersebut selain dari Menteri Pelajaran, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian, Datuk Seri Sanusi Junid. Malah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pernah menang Naib Presiden Umno pada tahun 2000 walaupun tiada jawatan dalam kerajaan selain dari Najib dan Muhyiddin.

Begitulah peranan 2,500 perwakilan Umno dahulu yang mengimbangi antara yang ada jawatan dalam kerajaan dengan yang tiada jawatan ketika memilih Naib Presiden Umno.

Berdasarkan trend ini, oleh itu apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam bertanding jawatan itu pada 19 Oktober lalu, ramai yang meramalkan beliau akan menang walaupun beliau tiada jawatan dalam kerajaan memandangkan beliau pernah jadi Naib Presiden Umno (2004-2009) dan pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno (2009) tetapi tidak dibenarkan oleh Lembaga Disiplin Umno.

Maka ramai yang ramal beliau akan menang. Sebaliknya Ali hanya mendapat tujuh undi sahaja dari tujuh bahagian. Inilah bezanya antara 2,500 perwakilan dahulu dengan 146,000 perwakilan sekarang.

Tetapi dengan perwakilan sebegitu ramai, ketua bahagian sendiri tidak dapat mengawal perwakilan yang mengundi secara sulit.

Sebab itulah Ali yang baru lima bulan tidak jadi Ketua Menteri Melaka kecewa kerana hanya satu daripada enam bahagian di Melaka yang mengundinya. Beliau hanya mendapat undi daripada Umno Bukit Katil yang diketuainya manakala lima lagi iaitu Tangga Batu, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin dan Kota Melaka tidak berbuat demikian.

Beliau baru lima bulan tidak ada kuasa di Melaka tetapi lima Ketua Bahagian sudah melupakannya. Saya rasa bukan salah ketua bahagian tetapi mereka tidak dapat mengawal kehendak perwakilan kerana yang mengundi terlalu ramai tidak seperti dahulu boleh kawal 2,500 orang perwakilan.

Ali bukan sahaja berjasa di Melaka malah di seluruh negara di mana ramai ketua bahagian dapat pingat Datuk dari Melaka di atas rekomendasi Ali ketika menjadi Ketua Menteri Melaka dahulu. Tetapi Ketua Bahagian di luar Melaka yang dapat Datuk Melaka pun tak dapat membalas budi Ali dengan memberi undi kepada Ali.

Begitulah nasib Ali apabila Ali yang kalah dalam pilihan raya umum lalu tidak menjadi tarikan para perwakilan untuk mengangkatnya sebagai Naib Presiden Umno sekali lagi. Kalau Ali menang di parlimen Bukit Katil Mei lalu, sudah tentu Ali jadi menteri pusat, dan dia akan menjadi saingan sengit kepada Pasukan Trio.

Inilah hakikat yang harus beliau terima. Apabila beliau tidak memegang sebarang jawatan di negeri atau pusat, tidak siapa nak lihat beliau, tetapi dulu ketika 13 tahun jadi Ketua Menteri, semua sokong beliau.

Ali menjadi mangsa transformasi Umno. Kalaulah perwakilan kekal 2,500 orang, saya percaya Ali tetap menang.

Itulah bezanya antara 2,500 perwakilan dahulu dengan 146,000 orang perwakilan sekarang. 2,500 orang perwakilan dahulu memilih Naib Presiden Umno tanpa mengambil kira calon ada jawatan atau tidak dalam kerajaan tetapi 146.000 perwakilan sekarang memilih Naib Presiden Umno berdasarkan calon ada kedudukan dalam kerajaan.

Turut baca:
MKT Umno dilantik: Siapa pilihan Najib?

No comments: