Tuesday, October 1, 2013

Mengapa Mesir haramkan Ikhwanul Muslimin?

DETIK DAILY


Ikuti pandangan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) yang juga AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin mengenai keputusan Mahkamah Mesir mengharamkan Ikhwanul Muslimin, ketika ditemubual Wartawan Kanan Harakah, AZIZ MUDA pada 25 September lalu.

HARAKAH: Tindakan kudeta Mesir mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 23 September lalu adalah untuk menyekat kebangkitan umat Islam yang didalangi Amerika Syarikat kerana bimbang ke atas keselamatan Israel. 

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Pertama sekali, kita sangat sedih dan marah kepada pihak berkenaan yang telah merampas ligitimasi, hak-hak dan kebebasan rakyat Mesir. Mereka telah membunuh lebih 5,000 orang rakyat Mesir, manakala belasan ribu orang mengalami kecederaan dan luka-luka, tidak kurang 16,000 orang ditangkap. Mereka menggunakan kekerasan dan menindas umat Islam setiap hari termasuk ke atas ulama-ulama di sana.

Kita sangat kesal dengan perbuatan teroris tentera Mesir itu, lebih-lebih lagi mereka menuduh pula mangsa-mangsa mereka itu sebagai teroris dengan menggunakan media masa negara mereka. Namun fitnah yang disebarkan oleh mereka itu tetap tidak berjaya mempengaruhi rakyat Mesir. Sebaliknya rakyat Mesir sendiri tahu bahawa semua itu sengaja direka oleh kudeta tentera Mesir dan sekutu-sekutu mereka. Walaupun ditekan sedemikian hebat, Ikhwan tidak akan mati. 

Ikhwan Muslimin adalah gerakan yang telah sangat lama ditubuhkan, sangat mendasari gerakan Islam serta paling dominan dan tersusun di Mesir. Tindakan kudeta tentera Mesir menyita Ikhwan itu turut dikutuk oleh pertubuhan-pertubuhan politik lain di Mesir. 

Malah tindasan kudeta tentera menindas Ikhwan dan rakyat Mesir itu telah mencetuskan kebangkitan, cita rasa dan hasrat terbanyak rakyat mesir yang beragama Islam untuk menentang kezaliman itu. Ikhwan adalah gerakan paling kekal dan mendasar di Mesir. Menentang kebangkitan Ikhwan pada pandangan rakyat Mesir yang beragama Islam bererti membunuh jatidiri dan membunuh rakyat Mesir itu sendiri. Menghalang kebangkitan Ikhwan adalah eleman yang akan mencabut akar umbi atau jatidiri Mesir itu sendiri.
Sebelum ini, Ikhwan pernah cuba diharamkan, digantung dan sebagainya berkali-kali, tetapi Ikhwan semakin kukuh, mantap dan makin dihargai. Tindakan yang dilakukan itu akan mencetuskan pula simpati rakyat terhadap Ikhwan, sehingga menjadikan Ikhwan semakin berkembang.

Ini telah menaikkan semangat golongan muda, walaupun bukan Islam, dari berbagai-bagai jalur untuk memimpin kebangkitan rakyat di Mesir hari ini. Walaupun kumpulan Ikhwan sudah banyak dilumpuhkan oleh tentera, bangkit pula hari ini golongan ketiga. Ini bererti kebangkitan rakyat sudah bermula. Ini bererti kebangkitan imperialisme Barat yang menguasai telaga minyak yang dipegang oleh seorang ketua tertentu mudah ditangani jika rakyat bangkit dan kumpulan itu pula tidak akan dapat dilawan oleh tentera.

Kebangkitan imperialisme Barat yang menguasai telaga minyak besar itu adalah pemetaan dari dunia.
Untuk menguasai telaga minyak itu, mereka telah melantik seorang syeikh, tetapi syeikh itu pasti tidak akan dapat mengawal telaga minyak yang sebegitu besar itu seorang diri.

Ini akan menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak terkawal dari segi limpahan wang dan wang yang melimpah itu akhirnya akan dapat dikawal oleh dunia Barat. Dalam masa yang sama akan turut berlaku pertelagahan sesama sendiri di kalangan umat Islam.

Inilah antara beberapa tindak tanduk dunia Barat di dunia umat Islam. Pemetaan kuasa-kuasa Barat itu dilakukan di beberapa buah negara termasuk di Algeria, sehingga ratusan ribu umat Islam berdarah sesama sendiri.

Di Mesir pula, hasil dari kebangkitan umat Islam, setelah Ikhwan Muslimin berjaya memerintah negara melalui demokrasi selama setahun, direka pula fitnah yang mengatakan Presiden Morsi tidak mampu mentadbir negara dengan baik, tidak mampu mempertingkatkan ekonomi rakyat.

Kebangkitan itu didalangi oleh orang yang tidak islamik bagi menimbulkan kebencian orang ramai terhadap Dr Morsi dan Ikhwan Muslimin. Sebagaimana keabsahan yang dikatakan, Dr Morsi telah melesapkan empat puluh juta, tetapi rakyat Mesir sendiri sudah tahu bahawa realiti yang sebenarnya tidak seperti yang disebut oleh mereka itu.

Ini petanda semua usaha dan fitnah yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang anti Islam itu tidak berjaya. Sebaliknya, rakyat Mesir sendiri sudah tahu dan sudah dapat melihat bahawa Dr Morsi telah melakukan banyak sumbangan untuk rakyat Mesir dan untuk kepentingan negara mereka.

Dalam sejarah, tak ada Dr Morsi bunuh orang, tak ada Dr Morsi menganiaya orang seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Sebaliknya yang membunuh orang dan menganiaya orang adalah As-Sisi.

HARAKAH: Apakah sumbangan yang telah dilakukan oleh Dr Morsi sepanjang setahun memerintah itu? 

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Setakat yang sempat dikumpulkan hingga saat ini, terdapat tidak kurang tujuh sumbangan besar yang telah dilakukan oleh Dr Morsi walaupun baharu sahaja setahun beliau memerintah Mesir. Inilah juga yang menjadi sebab rampasan kuasa itu ditujukan ke atas Dr Morsi, iaitu:

1. Kerana beliau menjadi penghalang kepada perancangan Zionist dan sikap beliau menghadapi kerenah Israel dengan cara bermaruah dan mempunyai harga diri, berbanding regim pemerintah sebelum beliau dan kini yang hanya mendengar kata, pasrah, tunduk mematuhi kehendak Yahudi di Palestin terjajah.

2. Kerana sikap tegasnya menghadapi Amerika dan menyikapinya selaras dengan tuntutan kepentingan bersama di samping mengutamakan kepentingan negara Mesir berbanding kepentingan Amerika.

3. Langkah beliau memperkenalkan trend Tamadun Islam yang sederhana Wasathi dengan pola perlakuan sederhana yang komprehensif menyeluruh dan serba melengkapi di samping boleh diterimapakai oleh kebanyakan negara di dunia.

4. Sikap prihatin beliau untuk membangun ekonomi Mesir dan mengadakan perancangan raksaksa seperti pemodernan terusan Suis yang boleh meningkatkan ekonomi Mesir, sehingga Mesir beralih menjadi negara pemberi kredit berbanding sebagai penerima kredit seperti sekarang.

5. Beliau berjaya menyebarluaskan nilai tolerensi, kebebasan beragama untuk seluruh lapisan dan jalur masyarakat Mesir; baik muslim mahupun bukan muslim. Hal ini menjadi pemangkin kepada kestabilan dan perkembangan ekonominya.

6. Beliau mengambil berat soal pendidikan, membuka berbagai universiti baru, mengulangkaji berbagai sukatan pendidikan dan pelbagai tahap pengajaran dan pembelajaran.

7. Beliau memberi perhatian khusus kepada Semanjung Sinai. Beliau menempatkan sejuta rakyat Mesir di kawasan itu dan ini membawa bahaya besar terhadap kedudukan Yahudi.

HARAKAH: Apakah lagi sumbangan Morsi yang amat menakutkan Amerika, Isreal dan sekutunya?

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Satu sumbangan Morsi yang patut disebut ialah projek menanam gandum terbesar yang diusahakannya. Dalam masa yang sama, dia juga turut melahirkan satu kawasan yang dapat menempatkan hampir sejuta orang di Sinai. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Morsi itu adalah satu strategi untuk memperbanyakkan penduduk di kawasan itu dan ini boleh menentang Isreal.
Selain itu, Morsi juga banyak melakukan MOU termasuk dengan negara China untuk melahirkan perusahaan strategik untuk negaranya. Peranan sedemikian dapat membebaskan Mesir dari bergantung dengan Amerika. Ini dapat melepaskan Mesir daripada tali jerat Amerika.

Di samping itu, banyak lagi sumbangan yang dilakukan oleh Morsi selama setahun itu. Ini tak disenangi Barat. Begitu juga dengan kenyataan-kenyataannya yang hendak membebaskan Palestin dari Israel. Itulah sebabkan mereka gelisah. Mereka tak mahu kesemua itu dilakukan oleh Morsi. Sebenarnya kehadiran Morsi memang sangat menakutkan dan membimbangkan Isreal.

Apabila Isreal terancam, Amerika juga pasti tidak senang. Jika Isreal susah bermakna Amerika juga akan susah kerana ikatan antara Amerika dan Israel cukup kuat. Malah Presiden Amerika, Obama sendiri sudah pun menyebut ikatan Amerika dan Israel sangat erat dan tak dapat dipisahkan dan keselamatan Isreal adalah keselamatan Amerika. Ucapan ini turut disebut oleh Obama di PBB baru-baru ini.

HARAKAH: Kuasa Barat memang curiga dengan kumpulan Islam

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Kuasa Barat tetap curiga jika kumpulan-kumpulan Islam berkuasa di bumi Islam. Mereka pasti akan berusaha untuk merobohkannya. Sekarang yang hendak diroboh oleh mereka adalah negara-negara umat Islam di Turki, Mesir dan Iran. Untuk itu, mereka berusaha menimbulkan permusuhan antara Sunni dan Syiah di kalangan umat Islam. Mereka timbulkan kebencian dan kemarahan sesama umat Islam.

Selepas itu, mereka akan melahirkan boneka-boneka mereka di negara-negara itu. Dalam usaha ini, lobi yang dilakukan oleh Amerika sangat kuat. Obama pun tak dapat melepaskan diri dari lobi ini. Inilah pendajalan yang berlaku. 

HARAKAH: As-Sisi alat Amerika 

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: As-Sisi jelas alat Amerika, alat imperialisme baru. Perjanjian Camp David sedang mengikat Mesir sekarang. Dalam perjanjian itu ada disebut kerjasama tentera di Mesir. Apabila mereka berusrah, di sinilah adanya berbagai pandangan.

Dalam Camp David itu juga adanya perjanjian bantuan kepada Mesir, ada pelbagai tambahan, saguhati dan sebagainya. Sekarang As-Sisi dah jadi macam Isreal. Bagaimana seorang yang asalnya Islam dan Arab boleh menentang umat Islam sendiri? Boleh menentang kehendak Islam? Bagaimana dia boleh membunuh orang begitu sahaja? Ini menunjukkan As-Sisi dan mereka yang bersamanya sudah dipengaruhi oleh Amerika.

Bagaimana pengaruh ini boleh berlaku? Ulama-ulama dihukum, ditimbulkan kes-kes lama yang sudah berlaku puluhan tahun lalu untuk mengenakan hukuman kepada ulama-ulama. Ini juga berlaku di Bangladesh. Semua ini ada dibincangkan oleh mereka di pusat-pusat kaji mereka.

HARAKAH: Bagaimana pula kaitan kedatangan Obama ke Malaysia

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Obama nak datang ke Malaysia pun sebenarnya ada 600 pengiring dan pengkajinya. Pakar-pakar itu sudah ada maklumat dan strategi bagaimana hendak menyelamatkan Obama. Itu pun ada hubungan pula dengan orang-orang di Malaysia dan diperkamaskan di sini. Akhirnya, ada beberapa puluh orang As-Sisi di Malaysia pun. Maksudnya, senario yang sama pun akan berlaku kalau kita tidak mengambil tindakan-tindakan yang sepatutnya di negara kita.

Baru-baru ini, ada berlaku satu kejadian seorang polis menembak mertuanya. Bagaimana boleh berlaku begitu? Ini berlaku kerana kurang keimanan. Jadi kalau kumpulan bersenjata tidak takut kepada Islam, bermakna mereka boleh membunuh siapa sahaja. Dia sanggup lanyak sesiapa sahaja sampai mati. Ini pun sudah ada berlaku di Malaysia.

Jadi kumpulan yang bersenjata atau pasukan keselamatan amat perlu diberikan pendidikan Islam supaya mereka tidak menjadi musuh kepada Islam, supaya mereka takut kepada Alllah. Dengan itu baharulah boleh memberikan jaminan keselamaran kepada kita. Kalau kita tak didik mereka, mereka pasti akan bertindak sebaliknya.

Mereka bukan sahaja akan melakukan pelbagai kejahatan seperti minum arak, tangkap orang, bunuh orang dengan sewenang-wenangnya, tetapi akan menghancurkan negara. Mereka yang terbabit dengan Perjanjian Camp David pasti ada pertemuan berkala. Mereka akan membentuk jaringan muhabbah bagi membincangkannya.

Mereka menganggap kumpulan Islam adalah jahat. Seluruh dunia akan dipengaruhi dengan anggapan itu. Di Malaysia juga tidak terkecuali dengan perancangan ini. 

HARAKAH: Apa pengajaran bagi umat Islam? 

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Kita sebagai umat Islam kena sedar strategi ini. Kita jangan ikut gendang mereka. Kalau kita tak berhati-hati, walaupun kita pandai, kita tetap akan kalah kerana tak bijaksana. Jadi kita kena pandai dan bijaksana, kena berhikmah dengan perspektif yang lebih luas. Gambar-gambar dalam internet, dalam media sosial, dalam youtube, dalam facebook jangan kita terima bulat-bulat dengan begitu mudah.

Gambar-gambar seperti yang dikatakan orang Syiah membunuh orang Sunni atau orang Sunni membunuh orang Syiah itu jangan begitu mudah kita mempercayainya.

Sebaliknya pembunuhan itu mungkin dilakukan oleh orang Sunni ke atas orang Sunni sendiri atau orang Syiah ke atas orang Syiah sendiri. Gambar-gambar itu juga mungkin gambar-gambar lama yang sengaja diperbaharui untuk mengelirukan umat Islam supaya orang Sunni dan orang Syiah bermusuhan bagi melemahkan dan menghancurkan umat Islam.

Pembunuhan antara orang Sunni ke atas orang Syiah dan orang Syiah ke atas orang Sunni itu banyak digambarkan berlaku di beberapa buah negara termasuk di Afrika, di India. Gambar-gambar lama dikatakan kejadian terbaru. Kita umat Islam jangan terjebak hingga kita jadi bodoh. Kita kena ada kebijaksaaan untuk menghadapi semua itu. 

Di Syria, Bashar al-Assad dari Sunni dikatakan bermusuhan dan sering melakukan pembunuhan ke atas orang Syiah. Bashar al-Assad itu digambarkan sebagai seorang yang jahat. Adakah benar Bashar al-Assad membunuh orang Syiah? Atau adakah yang dibunuh oleh Bashar al-Assad itu sebenarnya orang Sunni? Adakah benar Bashar al-Assad itu orang Sunni? Adakah benar Bashar al-Assad itu penjahat?

Kita sendiri pun tak tahu realitinya yang sebenar. Jadi kita kena ada kebijaksaaan dalam mendepani semua ini. Strategi mereka untuk melaga-lagakan umat Islam menerusi Sunni- Syiah kini dah berjaya. Akibatnya, kini kita nak makan kurma dari Iran pun dah tak boleh kerana Iran itu Syiah dan Syiah adalah kafir. Benarkan Syiah itu kafir?

Kita sebenarnya tak boleh sampaikan berjaya dipengaruhi dengan strategi mereka yang mahukan sesama umat Islam beranggapan bagi orang Sunni, orang Syiah itu jahat dan bagi orang Syiah pula. Kita juga tidak boleh membiarkan diri kita terpengaruh dengan pandangan umum yang mahu ditanamkan oleh mereka yang menganggap orang Syiah adalah jahat atau orang Sunni adalah jahat.

Sedangkan tidak semua orang Syiah jahat dan tidak semua orang Sunni jahat. Begitu juga dengan tangggapan yang mengatakan Syiah itu kafir. Banyak lagi perkara yang perlu kita tahu. Sedangkan kalau Syiah itu kafir, bagaimana Arab Saudi boleh membenarkan orang Syiah termasuk dari Iran mengerjakan haji di Mekah tiap-tiap tahun.

Janganlah kita sampai memutuskan hubungan kemanusiaan Sunni-Syiah. Kita kena ada hormat menghormati antara kedua kumpulan ini. Ini perlu dipatuhi. Kalau tak dipatuhi pasti akan menyebabkan krisis antara umat Islam.

HARAKAH: Kejayaan mereka menjatuhkan Morsi pasti memberikan kesan buruk kepada Palestin

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Mengenai pengharaman Ikhwan Muslimin, itu akan lanjutkan polisi Barat keseluruhannya. Ini juga satu usaha untuk melemahkan pimpinan Tunisia yang sekarang di bawah pimpinan Islam.

Sekarang pun mereka sedang rancangkan juga untuk menjatuhkan pimpinan Islam di Tunisia. Malah masa depan Erdogan di Turki pun sebenarnya sekarang dalam bahaya. Mereka sangat takut dengan hasrat Erdogan yang hendak kembali kepada Islam dari sudut kenegaraan, peradaban dan politik.

Untuk menghancurkan pimpinan Islam, mereka akan menganggapnya teroris. Atas anggapan itulah dulu Bush lancarkan perang di Afghanistan dan Iraq hingga hancur. Sekarang mereka juga sedang merancangkan untuk menjahanamkan Iran. Sekarang, mereka berusaha untuk menjahanamkan pimpinan Islam di Mesir.
Kejayaan mereka menjatuhkan Morsi sekarang memang kerana mereka hendak membunuh Hamas.

Mereka telah berjaya menggunakan As-Sisi untuk melagakan sesama umat Islam di Mesir. Antara tuduhan yang dibuat oleh mereka ke atas Morsi kerana Morsi membantu Hamas, sedangkan Hamas itu dianggap oleh mereka sebagai teroris, walaupun Hamas sebenarnya menang pilihanraya.

Mereka juga turut menuduh Hamas hendak menghancurkan Mesir. Tuduhan mereka itu sebenarnya telah ditentang oleh Hamas dengan menegaskan bahawa Hamas tidak campur tangan dalam pemerintahan di Mesir. Sebaliknya, Mesir hanya tempat mereka mengadu kerana Mesir adalah sebagai saudara kepada mereka. Jadi tak mungkin Hamas pula yang mahu menghancurkan Mesir.

Tetapi mereka telah berjaya menjadikan As-Sisi sebagai alat kepada mereka, sehingga As-Sisi telah berkesanggupan melakukan apa saja, termasuk menangkap dan membunuh rakyatnya sendiri, melemahkan ulama, sehingga membuatkan As-Sisi gagal berfikir lebih jauh bahawa apa yang dilakukan itu sebenarnya adalah menjahanamkan negaranya sendiri.

HARAKAH: Dulu selain menggunakan taktik mengharamkan Ikhwan, mereka juga membunuh Hassan Al-Banna dan menggantung Syed Qutub. Kini taktik yang sama juga turut digunakan.

USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN: Dulu mereka bunuh Al-Banna, Syed Qutub, kini memang tindakan yang sama juga yang turut digunakan, tapi rakyat Mesir sekarang sudah bijaksana. Dengan adanya internet, segala penipuan mereka kini sah dapat dipatahkan oleh umat Islam dan rakyat Mesir. Akhirnya segala penipuan mereka pasti terdedah. Rakyat Mesir sendiri pun sekarang sudah tidak lagi mempercayai media jalang di negara mereka yang dikuasai As-Sisi.

Malah di Mesir sekarang telah berlaku demonstasi setiap hari. Ini terutamanya dilakukan oleh anak-anak muda di beberapa tempat di negara itu. Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menghalang kebangkitan pelajar, sehingga dunia dapat melihat pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan oleh mereka terhadap para pelajar universiti, para pelajar juga tetap tidak gentar malah turut menyertai demonstasi itu. Inilah yang amat menakutkan mereka sekarang.

Baru-baru ini, Morsi telah dibawa keluar dari tempat tahanannya yang dirahsia sekejap untuk dibawa ke mahkamah. Jadi, ini membuktikan Morsi masih hidup. Ini pasti menggembirakan rakyat Mesir. Pada kesempatan itu, Morsi juga berkata bahawa dia masih lagi Presiden Mesir yang sah. Menurut Morsi dia tak gentar dengan apa yang dilakukan ke atasnya, malah dia berjanji akan terus lawan hingga titisan darah terakhir.

No comments: