Thursday, May 30, 2013

Kereta apa yang dah turun harga?

Budiman Abdul Karim,


Saya tertarik dengan pengumuman oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat sehingga 2017. Menurutnya lagi ada 10 model kereta yang t elah diturunkan harga sebanyak 7.3 peratus sejak Oktober tahun lepas.

Saya menggesa agar menteri berkenaan menyenaraikan atau menyiarkan di media kesemua model tersebut agar diketahui oleh rakyat umum. Adakah model tersebut hanya membabitkan keluaran Proton dan Perodua sahaja? Adakah membabitkan hanya kereta mewah seperti Ferari, Lamborghini, lotus dan sebagainya?

Sehingga ke hari ini saya tidak pernah melihat atau membaca senarai rasmi di mana-mana media jenis-jenis kereta yang telah diturunkan harga itu. Kenapa tidak diumumkan senarai kereta tersebut sebelum PRU?

Pernyataan menteri MITI yang baru ini lebih menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan. Janganlah hanya kerana mahu meniru manifesto Pakatan Rakyat, anda pun mahu turunkan harga kereta. Tetapi tidak tahu kaedah yang betul dan mungkin tidak ikhlas pun.

Akibat maklumat yang samar-samar ini, rakyat masih  tertanya-anya adakah pengumuman ini betul-betul atau mahu uji tindak balas rakyat? Adakah ini hanya sandiwara untuk menunjukkan bahawa janji ditepati? Jangan-jangan hanya pengumumun untuk menyedapkan hati.

Saya yakin, ramai rakyat Malaysia sedang menunggu senarai tersebut – yang  menjadi persoalan adakah senarai itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini atau ketika sudah hampir tarikh PRU14 nanti. Sama-sama kita tunggu janji ditepati atau janji dicapati!

No comments: