Wednesday, May 29, 2013
CPO sepatutnya nyatakan punca kematian Kugan'
Seorang peguam kanan persekutuan secara peribadi bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi Lumpur bahawa bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sepatutnya mengadakan satu lagi sidang akhbar selepas punca kematian A Kugan diketahui.
Hakim Datuk VT Singham bertanya kepada Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad beberapa kali sama ada beliau fikir Khalid (kiri), yang kini menjadi ketua polis negara, sepatutnya mengadakan satu lagi sidang akhbar untuk menjelaskan perkara berkaitan dengan kematian Kugan.
Khalid, dalam sidang akhbar lebih awal, telah berkata bahawa Kugan meninggal dunia selepas air diberikan kepadanya.
Selepas itu, satu bedah siasat bebas mendedahkan mangsa berusia 22 tahun itu telah mengalami pukulan teruk, kebuluran semasa dalam tahanan, dan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang akibat pukulan tersebut.
Keluarga Kugan telah memfailkan tuntutan RM100 juta terhadap Khalid, pasukan polis dan kerajaan, dan secara khusus terhadap Khalid, kerana didakwa cuba menutup punca kematian Kugan semasa dalam tahanan polis.
Hakim Singham: Adakah anda fikir defendan pertama (Khalid) perlu mengadakan sidang akhbar kedua kerana plaintif mendakwa ada cubaan mahu menutupnya? Patutkah dia beri penjelasan?
Azizan: Saya tidak boleh kata. Hanya Tuhan yang mengetahui (mengapa ini tidak dilakukan).
Singham: Mengapa (ini) tidak (dipersoalkan di mahkamah)? Apabila defendan pertama mengadakan sidang akhbar itu, adakah ianya sebelum bedah siasat pertama atau selepas?
Azizan: Sebelum, apabila Khalid berkata beliau telah diberi taklimat oleh ASP Rodney Paslan bahawa air telah diberikan kepada (Kugan) sebelum dia meninggal dunia.
Singham: Adalah anda fikir beliau sepatutnya mengadakan satu lagi (sidang akhbar apabila) punca sebenar kematian telah diketahui selepas bedah siasat pertama? Beritahu dan bantulah mahkamah.
Azizan: Secara peribadi, saya rasa ia (sidang akhbar itu) sepatutnya diadakan.
Mahkamah mendengar hujah tersebut dalam saman yang difailkan oleh ibu Kugan, N Indra (kanan), berhubung kematian anaknya ketika dalam tahanan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.
Kugan, yang meninggal dunia pada 20 Januari 2009, adalah operator trak penunda yang ditangkap polis kerana disyaki mencuri kereta mewah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment