Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, Umno tidak mempunyai masalah menyerahkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRU13 untuk ditapis.
Menurutnya, beliau menyambut baik cadangan yang akan berkuat kuasa dalam pilihan raya umum terdekat nanti untuk mewajibkan semua calon ditapis oleh SPRM.
"Kita bersedia dan akan serah nama kepada SPRM seperti yang dicadangkan. Ini adalah langkah terbaik," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, demikian mengulas kesediaan Pas Kelantan menerusi kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyerah nama calon-calon kepada SPRM sebelum PRU13 diadakan.
Dalam masa sama, Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan mengalu-alukan kesediaan Nik Abdul Aziz tersebut dalam menyokong langkah SPRM membendung rasuah.
Mengulas lanjut cadangan itu Awang Adek berkata, bakal-bakal calon tidak perlu bimbang dan seharusnya bersedia untuk SPRM membuat penilaian.
"Saya yakin bakal-bakal calon Barisan Nasional tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan," katanya.
Cadangan supaya kerajaan mewajibkan parti-parti politik mengemukakan senarai calon PRU 13 itu dinyatakan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaafar kelmarin, sebagai langkah pastikan wakil semua parti bebas rasuah.
Dalam kenyataan itu, Johan berkata, sebelum ini parti politik menghantar senarai nama calon untuk ditapis SPRM secara sukarela menjelang PRU13.
1 ulasan:
Semua calon BN mesti ditapis, tetapi Najib mesti yang pertama ditapis dahulu. Baca sini;
http://unofficialversion.wordpress.com/2012/12/22/semua-calon-bn-untuk-pru-13-akan-disaring-oleh-sprm-najib-calon-yang-pertama/
Catat Ulasan