Rabu, 19 Disember 2012

Tolak laporan bedah siasat Kugan, polis mahu tutup kesalahan

Oleh Aedi Asri

KUALA LUMPUR : Penolakan polis ke atas laporan bedah siasat kedua mendiang A Kugan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mahu lindungi kesalahan pasukan itu, kata peguam keluarga mangsa, Sivarasa Rasiah.

Katanya, polis terpaksa mencipta rekaan baru apabila laporan tersebut tidak berpihak kepada mereka.
“Penjelasan polis bahawa kemungkinan mayat Kugan terusik sebelum bedah siasat kedua dilakukan hanyalah alasan untuk tolak laporan itu. (Padahal) polis tiada bukti mayat itu terusik.

“Selepas ditegur di mahkamah (ketika perbicaraan), Timbalan Ketua Polis Negara (DIGP), Datuk Khalid Abu Bakar akui, beliau tiada bukti berhubung perkara itu. Dia (hanya) kata ada kemungkinan. (Malah) tiada laporan polis dibuat tentang hal tersebut,” jelas Sivarasa ketika dihubungi.

Menurut Ahli Biro Politik KEADILAN itu, beliau kemudian memaklumkan kepada mahkamah, laporan bedah siasat pertama oleh Dr Abd Karim Tajudin tidak lagi boleh digunapakai kerana dia didapati bersalah memalsukan laporan berkenaan.

“(Namun) Khalid hanya jawab beliau tidak tahu tentang perkara itu,” kata Sivarasa yang mewakili ibu Kugan, N Indra dalam perbicaraan kes itu.

Semalam, Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, polis tidak menerima laporan bedah siasat kedua kerana mendakwa mayat Kugan mungkin terusik semasa disimpan keluarganya.

siasat yang dibuat atas permintaan keluarga Kugan itu mendapati 45 kecederaan pada badan mendiang dan menyatakan punca kematian adalah disebabkan kegagalan organ-organ penting akibat pukulan.

 

Bedah siasat pertama oleh Abd Karim pula menyatakan kematian disebabkan paru-paru berair. Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kemudian memberi amaran kepadanya kerana melanggar etika dan profesional perubatan ekoran menyediakan laporan salah.

Kugan, 23, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 4 petang pada 16 Januari 2009.

13 Januari lalu, ibu Kugan memfailkan saman dan menamakan Khalid (Ketua Polis Selangor ketika itu); Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid; bekas konstabel polis, Navindran;  Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Tiada ulasan: