Hazayani Zakaria, |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menuntut penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung seorang pegawainya yang memegang jawatan dalam Umno.
Ketua DPPM, Nasruddin Hassan berkata, Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah, Aksyah Nasrah yang dilantik sebagai Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan mencemarkan ketelusan SPR.
"Persoalannya, bagaimana Ketua Penerangan Pemuda Umno boleh bekerja di SPR yang sepatutnya bebas dari mana-mana parti politik.
"SPR mesti menjelaskan perkara ini kerana ia boleh menjejaskan ketelusan dan kebebasan SPR di Sabah," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Nasrudin juga berkata, pihaknya bimbang perkara ini turut berlaku di Semenanjung.
"Kita bimbang perkara ini turut berlaku dalam SPR di Semenanjung.
"Kalau ini berlaku, kita tak boleh harapkan SPR yang telus dan bebas," katanya.
Tegas beliau, Aksyah mesti memilih salah satu daripada jawatan yang dipegangnya.
"Kalau Aksyah nak terus bekerja dengan SPR, dia mesti tak ada jawatan dalam Umno.
"Atau kita minta SPR lucutkan Aksyah dari jawatan dalam SPR supaya dia boleh terus berpolitik," katanya.
Turut bersama dalam sidang media ialah Timbalan DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, setiausaha, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya DPPM, Mohd Sany Hamzan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan