Rabu, 19 Disember 2012

Sorotan Persidangan DUN Negeri Sembilan Penggal Kelima

 
Adun dari BN dan Pakatan saling bersalaman dan bermaaf-maafan memandangkan ada di antara mereka yang mungkin tidak akan kembali selepas PRU-13.



SEREMBAN: Persidangan Ketiga (Belanjawan 2013) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang Ke-12 merupakan Persidangan DUN Negeri Sembilan yang ke-16 dan terakhir sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan serentak dengan parlimen dalam tempoh kurang empat bulan daripada sekarang menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Persidangan DUN berlangsung selama tiga hari bermula 14 Disember dan berakhir 18 Disember. Di hari akhir persidangan, kelihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat saling bersalaman dan bermaaf-maafan memandangkan ada di antara mereka yang mungkin tidak akan kembali ke Persidangan DUN selepas PRU-13 sama ada kerana  mungkin tidak dipilih semula sebagai calon DUN, atau dipindahkan ke kerusi parlimen atau mungkin kalah pada lawan.

Jalan Raya Seremban ke Kuala Pilah dinaik taraf

Datuk Zainal Abidin Ahmad (BN-Sungai Lui) bertanya adakah pihak kerajaan merancang untuk menyambung Lebuhraya Lekas terus ke Bandar Seri Jempol bagi meringankan bebanan trafik di Bandar Kuala Pilah.

Mohd Taufek Abdul Ghani (PAS-Paroi) turut bertanya soalan berkaitan kesesakan di Jalan Kuala Pilah – Seremban dan Jalan Rembau – Seremban setiap hari Ahad.

Menjawab soalan Zainal Abidin dan Mohd Taufek; Exco Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi, Datuk Ismail Lasim berkata purata kenderaan yang melalui Jalan Kuala Pilah – Seremban adalah sebanyak 23,422 sehari (16 jam data bancian) dan pada waktu puncak pula sebanyak 1, 856 kenderaan bagi tempoh sejam (5.00 petang – 6.00 pagi).

“Pada masa ini tiada perancangan untuk menyambung Lebuhraya Lekas ke Bandar Seri Jempol.

Bagaimanapun pihak JKR mempunyai perancangan membina jalan baru bermula dari Tanjung Ipoh, terus ke UiTM – Serting Tengah – Bandar Seri Jempol – Kemayan.

“Cadangan projek ini akan mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Seremban – Kuala Pilah sedia ada dan Bandar Kuala Pilah serta memberi keselesaan kepada pengguna kenderaan untuk ke Pantai Timur khususnya Muadzam Shah, Mersing dan Temerloh.

“Pada masa ini kerja naik taraf Jalan Seremban – Kuala Pilah dilaksanakan secara berperingkat. Fasa Pertama dari Balai Polis Paroi ke Bukit Putus telah siap dilaksanakan.

“Fasa Kedua dari Bukit Putus ke Ulu Bendul sedang dalam pembinaan. Fasa Ketiga pula, dari Ulu Bendul ke Hospital Kuala Pilah masih dalam peringkat rekabentuk.

“Laluan Seremban ke Rembau pula cadangan menaik taraf jalan tersebut dari dua lorong kepada empat lorong telah dimasukkan di dalam senarai projek Rancangan Malaysia Kelima-10 (Pelan Berterusan kali ketiga) dan  akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” kata Ismail.

Pembangunan pekan-pekan kecil

Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz (BN-Gemencheh) bertanya bagaimana perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan semula pecan-pekan kecil yang berdaya maju di seluruh Negeri Sembilan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata kajian oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Sembilan dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Derah dan Pihak Berkuasa Tempatan, sebanyak 20 pekan kecil di Negeri Sembilan telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan.

“Komponen utama pembangunan adalah pusat Industri Kecil dan Sederhana dan komersial.

“Sehingga kini, sejumlah lapan cadangan pembangunan bagi pekan Ayer Hitam, Palong 16, Rompin, Chengkau, Lubok China, Ayer Mawang, Pasir Besar dan Simpang Pertang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan.

“Manakala 12 buah pekan lagi sedang dalam perancangan dan dijangka selesai pada tahun 2013,” kata Mohamad.

Seringkali banjir

Cha Kee Chin (DAP-Bukit Kepayang) mengutarakan isu Kampung Pulau dan Kampung Batu 8, Labu seringkali menghadapi masalah banjir.

“Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang daripada kerajaan negeri untuk mengurangkan masalah banir di lokasi ini? tanya Cha.

Exco Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam, Datuk VS Mogan menjelaskan bahawa bagi mengurangkan masalah banjir di Kampung Pulau dan Kampung Batu 8, Labu; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)menjalankan kerja-kerja menggali sungai sepanjang lapan kilometer di kawasan tersebut pada tahun 2012 sebagai langkah jangka pendek.

Bagi perancangan jangka panjang permohonan telah dibuat kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek rancangan tebatan banjir di kawasan tersebut.

Projek perumahan mampu milik Prima


Cha juga ingin tahu bilangan unit rumah yang akan dibina di bawah projek perumahan mampu milik Prima bandar Ainsdale setelah kerja-kerja tanah (earth works) telah dimulakan di Jalan Labu.

Cha juga ingin tahu apakah kesan projek ini di sekitar kawasan yang berdekatan.

Mohamad berkata sebanyak 423 unit rumah akan dibina dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2014.

Beliau juga berkata projek Prima ini akan membuka kawasan perumahan baru yang lain dan sekaligus mewujudkan lebih banyak kemudahan di kawasan berkenaan.

Tiada ulasan: