Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: PKR akan ke Hong Kong semula bagi menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) berkaitan skandal rasuah RM40 juta yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
(Kunjungan wakil PKR ke ICAC sebelum ini)
Menurut laporan Keadilan Daily, delegasi PKR itu akan bertemu ICAC pada 13 Disember ini sebagai memenuhi permintaan suruhanjaya itu supaya bukti yang diperlukan pihaknya diserahkan untuk membuka semula siasatan kes tersebut.
“Kita akan bertemu ICAC 13 Disember ini dan serah dokumen yang mereka tiada, termasuk semua dokumen transaksi. Ia bagi membantu ICAC dapatkan bukti kes,” kata salah seorang wakil deligasi, Chang Lih Kang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja itu juga mendakwa, bukti berkenaan juga akan diserah kepada Ahli Parlimen (MP) Hong Kong yang ditemui sebelum ini untuk dibawa kepada Mesyuarat Panel Keselamatan Hong Kong.
“MP Hong Kong berjanji untuk bawa isu ini ke dalam agenda mereka. Panel Keselamatan adalah pihak yang bertanggungjawab memantau ICAC,” jelasnya.
Rombongan kali pertama pada 21 November lalu turut disertai Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.
Pada kunjungan itu mereka menyerahkan satu laporan dan dokumen sokongan mengenai perkembangan baru yang didakwa boleh membantu siasatan kes tersebut.
Antaranya kenyataan Datuk Seri Lajim Ukin bahawa beliau tidak pernah tahu menahu bagaimana Umno telah mendapat sumbangan derma RM40 juta, seperti alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan ICAC
Keduanya adalah kenyataan Datuk Seri Wilfred Bumburing bahawa beliau tahu wang RM40 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang (bukannya akaun Umno) yang menguatkan lagi pandangan ramai bahawa wang itu bukanlah derma kepada Umno
Musa sebelum ini menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan hartawan balak, Michael Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah RM40 juta.
Selain Musa, perkara sama turut dinafikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa wang RM40 juta tersebut adalah untuk Umno Sabah.
PKR bagaimanapun mempersoal kenyataan Nazri itu ekoran wujudnya hubungan antara ahli keluarga Nazri dengan jutawan balak Micael Chia itu.
Hubungan itu berupa sebuah kereta mewah SUV Hummer yang didakwa diguna anak kepada menteri itu, Nedim.
No comments:
Post a Comment