Sunday, December 30, 2012

Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin pulih

THE MALAYSIAN INSIDER

 

KUALA LUMPUR — Keadaan banjir di dua negeri di Pantai Timur semakin pulih dengan jumlah mangsa keseluruhan di Terengganu dan Kelantan seramai 3,171 orang berbanding 16,083 malam tadi.

Menurut Portal Banjir Negeri Terengganu, jumlah mangsa yang masih berada di pusat penempatan banjir sehingga pukul 8.30 pagi ini adalah seramai 2,617 berbanding 15,529 petang semalam.

Menurut portal itu lagi, empat daripada tujuh daerah yang mengalami banjir telah pulih dengan daerah terbaru Hulu Terengganu.

Mangsa yang masih berada di pusat penempatan ialah Dungun 1,915 melibatkan 549 keluarga, Kemaman 557 orang (156 keluarga) dan Kuala Terengganu 145 orang (31 keluarga).

Sementara itu, 11 pusat penempatan masih beroperasi iaitu Dungun (tujuh), Kemaman (tiga) dan Kuala Terengganu (satu).

Mangsa korban banjir di Terengganu setakat ini enam orang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir kekal dengan 554 orang yang masih berada di dua pusat pemindahan.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, mangsa terdiri daripada 178 buah keluarga di jajahan Tumpat yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 dan 2.

Kesemua mangsa dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada hari ini jika keadaan pulih sepenuhnya berikutan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menurun ke paras amaran.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan di negeri-negeri Pantai Timur bermula pada hari ini yang mungkin akan menyebabkan kawasan rendah mengalami banjir dan penduduk diingatkan mengenai kemungkinan banjir pusingan kedua.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan cuaca pada pagi ini cerah. — Bernama

No comments: