SHAH ALAM : Orang ramai di seluruh negara khususnya di Sungai Petani, Kedah diminta untuk bertenang dan tidak terus percaya berita pergaduhan yang membabitkan pelbagai kaum.
Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, berita kononnya berlaku pergaduhan antara kaum di Sungai Petani cuba diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Disebarkan kononya berlaku pergaduhan besar di beberapa kawasan.
“Yakinlah segala usaha ‘orang jahat’ itu tidak akan berhasil selagi kita menggenggam pedoman betapa isu perkauman sudah berkubur tidak ada dalam kamus Malaysia baru,” kata Badrul Hisham dalam kenyataan medianya.
Beliau berkata, SAMM membuat pemerhatian penuh melalui aktivisnya yang menetap di Sungai Petani membuat kesimpulan bahawa hanya terdapat pergaduhan kecil membabitkan kumpulan anak muda yang kemudian gagal mengawal diri.
Ujar beliau tiada sebarang kebencian antara kaum berlaku di sebalik pergaduhan tersebut namun campurtangan kumpulan ekstrem kaum merencatkan suasana dan mampu mengundang kecelakaan lebih besar.
“Semua ini terjadi hasil daripada politik perkauman ekstrem Umno dan BN yang sering melagakan kaum.
“Politik perkauman ekstrem Umno-BN umpama memasang bom jangka di kalangan masyarakat.
“Inilah yang mereka mahu, pergaduhan antara kaum akan menyebabkan setiap kaum berpaut kepada parti berasaskan kaum bagi berlindung lantas memberi sedikit nafas kekuatan biarpun memberi kesan buruk kepada seluruh kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata, SAMM berpendapat tiada gunanya berbilion wang ringgit dibelanjakan atas nama perpaduan semenjak merdeka.
Kewujudan Jabatan Perpaduan contohnya hanya membazir bila regim Umno-BN sendiri sentiasa membakar api perkauman.
“Keadaan di Sungai Petani terkawal di atas tahap kesedaran yang baik dari kalangan rakyat Malaysia yang belajar betapa pergaduhan antara kaum hanya akan memberi kelebihan kepada parti perkauman seperti Umno.
“Rakyat pasti tidak sedia untuk memberi nafas baru kepada Umno dan seraya itu menolak sebarang usaha mengembangkan propaganda jahat golongan ini kononnya pergaduhan besar antara kaum berlaku dan merebak ke serata tempat,” ujarnya.
Jelas Badrul, SAMM dengan segala rangkaian kekuatan bertekad memastikan negara ini stabil lebih-lebih lagi dengan pilihanraya yang menjelang, kesempatan pastinya diambil oleh Umno-BN.
“SAMM akan menyekat segenap ruang terutamanya berita yang membangkitkan bibit-bibit pergaduhan antara kaum, ketika kepedulian pihak berkuasa terhadap blog pro-Umno yang membawa propaganda jahat tidak diambil tindakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan