Masrum walaupun enggan menyatakan kerusi-kerusi yang hendak ditandingi secara terperinci, tetapi memberitahu pihaknya sudah ada jumlah calon yang secukupnya, yang layak dan berkaliber untuk membawa cabaran Kita dalam PRU13.
"Kami ada pemimpin-pemimpin setempat yang berkaliber. Mereka terkenal di kawasan masing-masing.
"Saya tidak mahu cakap siapa mereka, tetapi kami ada cukup calon, walaupun Kita ini parti kecil... mereka ini pemimpin-pemimpin setempat yang dikenali penduduk setempat," kata beliau yang mengambil alih kepimpinan Kita daripada Datuk Zaid Ibrahim lebih sebulan yang lalu.
PRU13 adalah yang pertama bagi Kita. Ia dilihat antara beberapa parti kecil yang akan bersaing bersama perikatan besar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Antara negeri yang menjadi tumpuan Kita ialah Kedah, Selangor, Melaka, Sabah, Pahang, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Lima puluh kerusi yang disasarkan termasuklah peringkat negeri dan parlimen.
"Ini negeri-negeri kita meletakkan tumpuan... kita sudah membuat persiapan termasuk menyiapkan manifesto," kata beliau yang turut menunjukkan manifestonya bertemakan "Moderat, Demokratik, Liberal".
Masrum, 58, sebelum ini Setiausaha Kita, yakin walaupun partinya berhadapan dengan siri rintangan sejak dilancarkan dua tahun lalu akan membawa impak dalam PRU13 jika diambil kira perkembangan dan citrasa politik tanah air pada masa sekarang.
"Kita bertanding untuk memeriahkan demokrasi, kita punya tawaran (yang digariskan dalam manifesto)," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
"Kita tidak tawar BR1M, atau apa-apa projek... tetapi kami menawarkan sebuah negara yang moderat, demokratik dan liberal," katanya sambil mengakui partinya tidak besar jika dilihat dari sudut saiz keanggotaan.
Keanggotaan Kita pada masa sekarang dianggarkan dalam lingkungan 15,000 orang.
"Jumlah ahli bukan satu isu. Keahlian Kita dalam 15,000 sekarang, tetapi Kita boleh membawa impak dalam politik negara.
"Saya tidak mahu kata kami ini 'king maker', tetapi kami boleh membawa impak dalam politik negara," katanya dengan merujuk kepada pembentukan kerajaan campuran di United Kingdom.
"Di UK, ada parti yang kecil dari segi keanggotaan, boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan campuran.
"Jika kami diberi kepercayaan, kami yakin rakyat akan beri jika melihat kepada keperluan politik negara semasa, kami akan membawa kesan yang signifikan," katanya.
Sehubungan itu hujah beliau, bukan semua pengundi atau rakyat "minat dengan politik" atau menerima BN dan begitu juga PR.
"Jadi ada jurang atau vakum di sini... boleh, boleh saya katakan bahawa kami boleh lakukan impak yang signifikan dalam PRU," katanya apabila ditanya sama ada boleh membawa kesan besar dengan hanya bertanding 50 kerusi.
"Kata timbalan perdana menteri (dalam satu kenyataan baru-baru ini), memang Kita parti yang kecil... walaupun kecil, kita ada peranan besar (dalam politik negara)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan