Budaya politik yang terlalu tertumpu kepada merebut kuasa sehingga mengguna prinsip matlamat menghalalkan cara sangat merbahaya. Para ahli politik yang cenderung mengguna politik sogokan dan saling memfitnah akan meletakkan rakyat hanya sebagai alat untuk meraih sokongan untuk kemudiannya dipijak setelah berkuasa. Natijahnya ialah semua pendekatan dihalalkan dan semua prinsip kebenaran dan keadilan diketepikan.
Para ahli politik yang berfikiran sempit dan melihat pencalonan dalam pilihan raya sebagai karier yang boleh meraih keuntungan material dan status dalam masyarakat sangat merosakkan.
Sebab itu kami mengingatkan semula pihak yang mengungkap kata-kata "PRU13 adalah ibu segala pilihran raya" dan "kita akan pertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir" hendaklah berwaspada bahawa rakyat akan melihat ini sebagai provokasi untuk menyaksikan bahawa segala manipulasi dan tipu helah dalam pilihan raya bakal berlaku dan akan menimbulkan ketegangan jika mereka kalah dalam PRU 13.
Politik curang dan pincang inilah yang akan meletakkan negara di ambang kehancuran.
Demikian juga dalam dunia seni yang turut dicemari dengan kerosakan nilai dan kemurahan hidup meraih populariti dari masyarakat. Yang jelas ialah para seniman kurang memberi perhatian bagaimana gelagat dan tingkah laku mereka dipentas hiburan boleh menjejaskan pemikiran dan nilai moral masyarakat.
Sebab itu kami menggesa pihak berwajib menilai semula pelbagai acara hiburan yang kini bercambah dalam hiburan TV tempatan yang membawa kesan tidak membina pemikiran matang dan serius di kalangan masyarakat, malah memundurkan serta meliarkan hidup rakyat.
Kami melihat ada trend mengujudkan pelbagai acara 'talk show' selebriti , gosip dan rancangan partisipatif bersifat mencari bakat menyanyi, menari, berlakon, pelawak yang meniru acara yang dipopularkan dari Barat.
Sayangnya acara seperti ini mendapat populariti yang tidak sedikit baik di kalangan masyarakat. Tidak kira sama ada ia diadakan di studio, di pusat membeli-belah mahupun di stadium, berbondong-bondong ahli masyarakat termasuk golongan tua, memenuhi acara. Gaya dan corak pakaian para seniman yang persis ala barat dengan tingkah laku penonton yang turut tidak menghiraukan kesopanan dan kesusilaan, nampaknya menjadi fenomena di negara ini.
Kami khuatir jika terlalu banyak acara seperti ini didedahkan kepada masyarakat, ia tidak membantu membina pemikiran yang sihat dan matang terutama di kalangan generasi muda.
Kami berpendapat hiburan yang melali dan melalaikan rakyat juga tidak harus dibiarkan berleluasa.
Kami mendesak para penerbit dan pengacara serta pihak berwajib menilai dengan mendalam apakah hidangan hiburan seperti yang ada sekarang patut diteruskan. Bolehkah seni popular yang berleluasa kini yang didedahkan kepada masyarakat mampu membentuk masyarakat yang menghayati budaya hidup berilmu dan mencintai nilai hidup murni?
Dunia seni filem dan drama yang banyak diciplak dari luar menyebabkan masyarakat terleka untuk berfikir kritikal dan matang. Para pengkarya seni dan penerbit tidak sepatutnya menghidangkan bahan karya yang tidak membantu membentuk pemikiran kritikal.
Teras dengan itu memandang serius dua aspek ini iaitu politik dan kesenian, yang jika tidak dibentuk dengan baik, akan memberi impak yang parah dikalangan masyarakat... kesan dari budaya berpolitik yang curang dan gaya seni yang mendedahkan nilai akhlaq yang pincang, memberi kesan negatif yang sama. Iaitu masyarakat tidak berfikir murni dan matang dan membawa kepada pembentukan sahsiah masyarakat yang bersifat liberal ala Barat.
Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan