Tuesday, December 4, 2012

PKR: Siasatan untuk halang himpunan minggu depan


 


 
Naib presiden PKR N Surendran mendakwa siasatan polis ke atasnya hari ini merupakan tekanan bagi menghalang satu perhimpunan yang dirancang pada minggu depan di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya.

Surendran berkata beliau dipanggil untuk siasatan berhubung ucapannya di Brickfields pada 24 November berhubung masyarakat India yang tiada kewarganegaraan dan hak golongan itu untuk mendapatkan MyKad dan sijil kelahiran.

"Kami percaya pihak berkuasa cuba menekan, mengganggu dan menakut-nakutkan kami untuk menghalang perhimpunan besar itu.

"Perhimpunan itu ada usaha untuk mendapatkan keadilan bagi ratusan rakyat Malaysia yang tiada kerakyatan di negara ini; bukan saja orang Indiia di Malaysia Barat tetapi juga warga Malaysia Timur yang terjejas," katanya.

Beliau ditemani peguam yang juga bekas presiden Majlis Peguam S Ambiga serta pengarah biro guaman PKR Latheefa Koya di balai polis Travers hari ini.

Ambiga mendakwa isu berkenaan tidak harus dipandang ringan dan sepatutnya menjadi tumpuan utama kerajaan.

"Sepanjang pengetahuan saya, sepatutnya tidak ada warga Malaysia yang tiada kerakyatan," katanya kepada pemberita.

Latheefa, dalam pada itu berkata, MP Kapar M Manikavasagam turut disiasat polis dua hari lalu dan beliau percaya tekanan itu akan berlarutan.

No comments: