PETALING JAYA: Sekumpulan penduduk Gombak Utara hari ini tampil
menyatakan kekesalan mereka terhadap provokasi yang dicetuskan oleh
kumpulan yang dikatakan Pemuda Umno pada program Jelajah Merdeka Rakyat
di Gombak, baru-baru ini.
Ketua Kampung Gombak Utara, Said Zakaria berkata penduduk kampung itu
menerima dengan hati terbuka kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.
Said mendakwa provokasi yang dicetuskan pada malam kejadian adalah angkara orang luar, bukannya penduduk tempatan.
“Kami
penduduk Gombak Utara berasa kesal di atas kekacauan yang dilakukan
oleh Umno, khasnya daripada Pemuda Umno Gombak Utara yang telah
membaling batu dan juga membuat bising ketika ucapan Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan juga pemimpin-pemimpin (lain).
“Kita rasa semua orang boleh datang dan boleh memberikan pandangan dan
mendengar pendapat apa yang berlaku pada negeri Selangor. Tapi malangnya
kekacauan telah dilakukan oleh Pemuda Umno dan perjalanan pada hari itu
nampak tidak baik. Jadi kami penduduk Gombak Utara merasa kesal.
“Lebih dari separuh dari kumpulan seramai 100–200 Pemuda Umno yang
membuat kacau itu adalah orang luar,” ujar Said pada sidang media di Ibu
Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
Kecewa
memandangkan Gombak Utara kini telah dicemari budaya samseng, Said
menggesa Ketua Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din untuk
tampil memohon maaf kepada penduduk kampung atas perlakuan biadap
anak-anak buahnya.
“Gombak Utara sebelum ini tidak pernah berlaku budaya samseng tetapi
kini telah dikotori oleh mereka-mereka yang mendakwa mereka adalah dari
generasi yang tidak suka dengan kehadiran Datuk Seri (Anwar).
“Padahal kami telah mengalu-alukan kedatangan beliau dan kami telah
menantikan sekian lama..ingin dapatkan penjelasan dan juga apa yang
telah dilakukan oleh kerajaan negeri dari segi kebaikan dan perubahan
yang kita akan laksanakan.
“Justeru, kami juga menyeru agar Ketua Pemuda Umno Gombak memohon maaf
atas cubaan menyemai budaya samseng dan biadap kepada penduduk kampung
dan mencalarkan imej kampung yang selama ini dikenali dengan budaya
sopan santun dan berbudi pekerti,” katanya.
Rabu lalu, seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera ditikam pada program
Jelajah Merdeka Rakyat di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2, Parlimen
Gombak. Mangsa luka di bahu kiri akibat tikaman yang dipercayai
menggunakan senjata – kerambit.
Kejadian itu berlaku selepas dikatakan sekumpulan individu yang memakai
baju Barisan Nasional (BN) mengganggu majlis tersebut dengan berbuat
bising dan melempar batu ke tapak ceramah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan