Selasa, 11 Disember 2012

Melayu diseru jadikan demonstrasi Baling iktibar kezaliman Umno BN

Oleh Aedi Asri

KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu orang Melayu mengambil iktibar peristiwa demonstrasi Baling akibat penindasan oleh pemerintahan kerajaan Umno BN.
Beliau berkata, ia perlu dijadikan pengajaran bahawa rakyat yang miskin dan terpinggir turut mampu bangkit melawan sistem yang tidak adil.

“Orang andaikan perubahan hanya akan berlaku dengan kesedaran orang bandar yang terdidik. Saya tidak setuju…Ia secara tidak langsung adalah serpihan dari pemikiran yang memperkecilkan (orang lain).

“Baling adalah antara daerah terpencil, masyarakatnya paling terpinggir (dan) tahap pendidikannya terendah…Tetapi mampu bangkit suarakan pandangan bahawa sistem yang ada itu bobrok kerana tidak dapat pertahankan hak dan keadilan mereka,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan utama dalam program ‘Syarahan Baling: Memperingati Demonstrasi Baling 1974 dan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia’ di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Pembangkang berkata, orang Melayu harus diyakinkan bahawa nasib dan kedudukan mereka akan lebih terjamin bersama Pakatan Rakyat.

“Ada yang kata orang Melayu sekarang rasa tergugat. Sebab itu masalah kemiskinan diremehkan, masalah penipuan diketepikan, masalah rasuah tidak diambil berat. Mereka takut tanpa Umno, nasib orang Melayu tidak terbela.

“Kita harus terangkan (bahawa) kemiskinan (dan) kesusahan mereka serta kezaliman ini adalah kerana dasar yang diteruskan Umno BN,” katanya depan lebih 300 hadirin.

Beliau menyarankan program seperti ini perlu terus diadakan dengan lebih mendalam seperti kupasan dasar pertanian dan ekonomi ketika demonstrasi Baling dahulu.

Program anjuran Angkatan Muda KEADILAN (AMK) ini bertujuan menyorot kembali peristiwa bersejarah kebangkitan rakyat bersama mahasiswa menentang dasar pemerintah yang gagal membela nasib mereka.

Demonstrasi pada Disember 1974 itu tercetus akibat masalah kemiskinan para penoreh getah di Baling serta kawasan sekitarnya semakin memuncak sehingga ada yang mati kelaparan.

Ekoran itu, pemimpin mahasiswa yang terlibat, antaranya Anwar (Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia), Syed Husin Ali (pensyarah Universiti Malaya) dan Kamaruzaman Yaakob (Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Terdahulu, acara dimulakan dengan forum bersama peserta demonstrasi Baling dibarisi ahli panel Kamaruzaman Yaakob, Ketua Cabang KEADILAN Batu Pahat, Syed Hamid Ali dan pensyarah Undang-undang UM, Professor Gurdial Singh.

Turut berucap, Syed Husin yang juga mantan Timbalan Presiden KEADILAN, serta deklamasi sajak oleh penyair Benz Ali dan persembahan Nik Jidan.

Tiada ulasan: