Khamis, 13 Disember 2012

Kongres Kebangsaan DAP ke-16 jadi pembuka bersejarah kempen “Seratus hari ke Putrajaya”

Roketkini.com


LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mahu Kongres Kebangsaan DAP ke-16 di Pulau Pinang hujung minggu ini menjadi pembuka bersejarah kepada kempen “Seratus hari ke Putrajaya” untuk rakyat mencipta sejarah dan membawa Malaysia yang baru benar-benar bersatu, demokratik dan makmur di bawah kerajaan Malaysia Pakatan Rakyat.pada PRU-13 nanti.

Beliau berkata, kongres akan menghantar mesej jelas dan terang kepada semua rakyat, termasuk pemimpin, perwakilan dan ahli DAP supaya mempunyai visi, iltizam, tanggungjawab dan disiplin kuat bagi mencapai misi dan objektif kempen bersejarah itu.

Kit Siang berharap semua rakyat tanpa mengira agama dan keturunan termasuk di Smenanjung, Sabah dan Sarawak bersatu sebagai satu masyarakat bagi memulih kembali kehebatan Malaysia sebagai model masyarakat majmuk yang harmoni.

“Sudah pasti semua mata akan bertumpu kepada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 bukan sahaja kerana kongres kali ini adalah yang terakhir tahun ini, juga seratus hari terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dinanti-nantikan kerana sudah lama tertangguh.

“Di saat menjelangnya Kongres Kebangsaan DAP ke-16 dan ketika kempen “Seratus Hari ke Putrajaya”, propagandis dan kaki putar UMNO/Barisan Nasional akan memacu lebih laju dengan politik bohong, kebencian dan menakut-nakutkan bukan sahaja memburuk-burukkan DAP dan cuba memecahkan perpaduan dalam parti, juga perhubungan DAP dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan PAS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, matlamatnya jelas, walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak begitu yakin bahawa UMNO/BN akan mendapatkan semula dua pertiga majoriti di Parlimen, sedangkan peluang PR dan BN masih lagi “50-50”.

Menurut beliau, peluang BN dan PR sama berdasarkan perkembangan ketika “Seratus Hari ke Putrajaya” terutamanya kempen pilihan raya umum adalah penentu kepada keputusan akhir.

Beliau berkata, berdasarkan analisis akhir, keputusan mungkin sama ada UMNO/BN memperoleh kembali majoriti dua pertiga sekurang-kurangnya 74 kerusi di dalam Dewan Rakyat, atau PR memenangi 125 kerusi dengan majoriti 28 kerusi mengatasi UMNO/BN di Parlimen.

“Dalam senario yang terkemudian, PR memenangi Putrajaya dengan 125 kerusi Parlimen, kemungkinan pembahagian kerusi adalah PKR dengan 45 kerusi, manakala DAP dan PAS masing-masing 40 kerusi.

“PR akan menjadi perikatan sama rata dengan tiada parti mendominasi kuasa politik seperti mana dalam BN.

“BN sekarang memainkan isu sentimen dengan pembohongan apabila mendakwa DAP menakutkan pemimpin PAS dan PAS menakutkan pemimpin DAP serta orang Melayu dan orang Cina akan ditindas.

“Sedangkan di bawah kerajaan PR terdiri daripada PKR, PAS dan DAP komited berkhidmat demi kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.

“Hubungan kami dalam PR, adalah setara yang mana kami menghormati pandangan dan perbezaan antara satu sama lain. Ini berbeza dengan BN yang UMNO menguasai politiknya,” katanya

Kit Siang berkata, sama ada sejarah akan tercipta pada PRU-13 dengan perubahan kerajaan di Putrajaya bergantung kepada kemampuan Pakatan Rakyat meyakinkan 13 juta pengundi Malaysia, terutamanya empat juta pengundi atas pagar terdiri daripada tiga juta pengundi baru dan satu juta pemngundi pada PRU-12.

Katanya, Kongres Kebangsaan DAP ke-16 juga akan melaungkan seruan terakhir bersiap sedia untuk PRU-13 merealisasikan program dasar bersama Pakatan Rakyat untuk Malaysia yang baru, benar-benar bersatu, demokratik, adil dan makmur di bawah kerajaan PR Malaysia. Roketkini.com

Tiada ulasan: