Rabu, 12 Disember 2012

Masih ada yang lahir sebelum merdeka tetapi belum dapat kewarganegaraan



(Dari Kiri) Tiga beradik Liyana, Hattan dan Nur Atika yang 
memegang kad pengenalan merah mereka pada perhimpunan duduk
 bantah pagi ini di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. — Gambar
 oleh Saw Siow Feng

PUTRAJAYA — Walaupun lahir sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957 tetapi masih ada rakyat Malaysia yang masih tidak diberikan kerakyatan sebaliknya masih memegang kad pengenalan merah (MyPR), hasil tinjauan The Malaysian Insider pada perhimpunan duduk bantah di Putrajaya hari ini.
 Kira-kira 300 orang peserta datang dari seluruh negara untuk berhimpun di perkarangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menuntut hak kerakyatan dan kad pengenalan biru.

Sarasivathi a/p SNS Durai, 69, datang dari Port Dickson ke Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan haknya sebagai rakyat Malaysia dengan harapan permohonan kali ini akan diluluskan.

“Saya lahir sebelum Malaysia ini merdeka tapi saya masih pegang kad pengenalan merah,” kata Sarasivathi yang lahir pada tahun 1943 itu.

Menurut beliau lagi, ini bukan pertama kali beliau memohon, dan sebelum ini pernah ditolak beberapa kali oleh JPN tanpa sebarang alasan.

“Sudah empat kali saya pohon untuk dapatkan kad pengenalan biru, tetapi semua ditolak.

“Bila saya tanya kenapa, mereka tidak berikan alasan,” kata beliau yang bekerja sebagai pencuci pejabat itu.

Selain Sarasivathi, seorang lagi warga emas dari Kedah S. Arumugam, 62, turut berhadapan masalah sama, masih memegang kad pengenalan merah.

“Saya hanya ada kad pengenalan merah, walaupun saya lahir pada 1951 sebelum Malaysia ini merdeka.

”Adakah saya bukan rakyat Malaysia? Permohonan saya ditolak lima kali walaupun saya lahir di Malaysia, boleh bercakap bahasa Melayu dan membesar di sini,” kata beliau yang bekerja sebagai penternak lembu di Sungai Petani, Kedah.


 Sarasivathi a/p SNS Durai, 69, memegang kad pengenalan merahnya walaupun lahir pada tahun 1943 pada perhimpunan duduk bantah pagi ini di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.
Selain kes dua individu tersebut yang lahir sejak negara mencapai kemerdekaan, tiga beradik daripada Seremban turut berhadapan nasib sama walaupun dilahirkan di Malaysia dan bapa mereka warganegara Malaysia.
 “Bapa saya sudah meninggal tetapi warganegara Malaysia. Bapa saya berkahwin dengan mak saya dari Indonesia tapi kami semua lahir disini.

“Sudah lama saya memegang kad pengenalan merah ini, ia sangat sukar terutamanya dalam pendidikan,” kata Hattan Rosli, 17 yang merupakan abang kepada dua adiknya yang juga tidak mendapat kad pengenalan biru.

Dua adiknya, Liyana, 16 dan Nur Atika, 14 turut mengalami nasib sama apabila tidak mendapat kad pengenalan biru walaupun beberapa kali membuat permohonan.

Perhimpunan hari ini yang diketuai oleh Naib Presiden PKR N Surendran berarak ke perkarangan JPN pagi tadi bagi menuntut taraf kerakyatan dan kad pengenalan biru.

Namun, sebaik tiba di perkarangan JPN pintu pejabat agensi kerajaan tersebut ditutup oleh sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan polis bantuan yang berkawal bagi menghalang peserta daripada memasuki bangunan tersebut.

Isu kerakyatan dibangkitkan oleh Surendran yang mendakwa terdapat seramai 300 ribu masyarakat India tidak memiliki kewarganegaraan minggu lalu.

Namun, Najib membidas kenyataan tersebut dalam perhimpunan agung MIC hujung minggu lalu apabila mengatakan tuduhan pembangkang sebagai menipu dan bertujuan memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Najib juga berkata berdasarkan perbincangannya dengan menteri sumber manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam, hanya seramai 9,000  sahaja kaum India yang membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatan dan bukannya 300,000 sepertimana yang didakwa oleh  pihak pembangkang.

“Saya diberitahu Subramaniam bahawa hanya 9,000 orang sahaja yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,000 sudah diberikan kad pengenalan dan sijil kelahiran manakala selebihnya masih lagi  dalam proses,” terang Najib lagi.

Tiada ulasan: