Selasa, 18 Disember 2012

Kit Siang kesal media putar belit fakta

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
 
GEORGETOWN - Penasihat DAP, Lim Kit Siang kesal dengan tindakan beberapa media yang cuba meniupkan api kemarahan rakyat terhadap parti itu apabila memutar belit fakta dengan menggambarkan seolah-olah DAP mengamalkan budaya anti-Melayu.

Kit Siang berkata, adalah tidak wajar menuduh DAP anti-Melayu apabila tiada calon Melayu tercalon jawatan penting dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16.

“Kita menerima keputusan dibuat perwakilan di kongres semalam (kelmarin). Dakwaan kita anti-Melayu tidak benar sama sekali. Gambaran yang dibuat salah, hanya kerana melantik dua wakil Melayu, DAP terus dilabelkan anti-Melayu.

“Kita mohon selepas ini media lebih bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang isu bagi menghentikan kebencian rakyat terhadap DAP,” katanya kepada media, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menegaskan parti itu bukan parti anti-Melayu berikutan mempunyai ahli berbilang bangsa dan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.

“DAP adalah parti berbilang kaum. Kita membenarkan semua kaum menyertai parti ini demi perjuangan kita untuk membela nasib rakyat.

“Parti kita disertai kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Buktinya, wakil dari kaum Kadazan dan Iban berada dalam senarai CEC yang baru dilantik,” katanya.

Menurutnya, ia membuka keahlian kepada semua kaum dan DAP tidak patut digambarkan sebagai parti anti-Melayu hanya kerana tidak ada calon Melayu dipilih untuk CEC.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) juga tidak seharusnya mengkritik DAP hanya kerana melantik dua ahli Melayu ke dalam senarai CEC berikutan keputusan yang dibuat oleh perwakilan.

Guan Eng berkata, parti tidak boleh dipersalahkan kerana mengamalkan sistem demokrasi setelah keputusan dibuat melalui undian ahli.

“Mengapa harus mengkritik keputusan dibuat ahli parti sendiri? Walaupun ingin menonjolkan imej sebagai parti pelbagai kaum dan mahu beberapa calon Melayu terpilih dalam CEC, namun inilah dikatakan demokrasi. Kita tidak mengawal apa jua pilihan perwakilan serta perwakilan mana yang harus dipilih,” katanya.

Tiada ulasan: