Khamis, 20 Disember 2012

Jakim perlu tangani isu kontroversi Islam dengan buku

Oleh Zahiruddin Zabidi




Penulisan dan penerbitan buku adalah nadi dan penanda kepada sebuah pembangunan tamadun dan kemajuan sesebuah negara dan ini sudah dibuktikan oleh sejarah. Banyak kesimpulan boleh dibuat daripada penelitian dan pemerhatian terhadap dunia penulisan dan penerbitan sesebuah negara dan masyarakat.


Selera membaca rakyat Malaysia dikesan semakin meningkat melalui data-data jualan penerbit buku Melayu seperti PTS, Telaga Biru, Galeri Ilmu, Karangkraf dan lain-lain. Antara perkembangan mutakhir yang agak baik adalah bagaimana sambutan masyarakat kepada buku-buku berkaitan dengan agama Islam.


Kepelbagaian ragam persembahan rekaan dan isi menjadi inovasi dalam penerbitan buku Islam tidak kaku beku sebagaimana gaya konvensional yang diamalkan dahulu yang berkiblatkan penerbitan buku-buku agama di bahagian Asia Barat. Paling tidak dua kategori buku berunsur agama didapati menjadi pilihan masyarakat pada hari ini:

1. Buku-buku dengan gaya penceritaan santai yang dilapikgaulkan dengan nas daripada al-Quran dan hadis serta pendapat dan nasihat daripada para ulama selain juga cerita dan pengalaman diri penulis dijadikan latar penulisan menjadi fenomena.

2.Buku-buku rujukan bersifat ilmiah yang berkaitan hukum-hakam dan amalan ibadat dalam bentuk yang segar dan warna-warni serta ditambah dengan kemudahan bergambar dan tidak hanya tertumpu kepada huraian teks yang panjang lebar dan berjela-jela.

Permintaan tinggi terhadap kedua genre ini malah menyebabkan sesetengah daripada penerbit terpaksa membeli lessen penerbitan daripada negara seberang dan menterjemahkan karya mereka dalam bahasa Melayu bagi memenuhi tuntutan masyarakat.


Tanpa mengurangkan nilai ilmu dan matlamat penulisan, dengan menggunakan kreativiti mencipta cerita tamsilan sebagai sandaran menghuraikan subjek perbincangan, menjadikan cerita-cerita dan pengalaman yang sebenar sebagai contoh menyebabkan perbincangan agama menjadi mudah difahami dan pembaca menjadi seronok membaca.


Begitu juga dengan mendatangkan huraian dalam bentuk gambar contohnya untuk buku-buku berkaitan dengan solat, gambar-gambar sangat membantu mereka yang ingin merujuk dan mempraktiskan terus apa yang mereka baca kerana menjadi satu kebiasaan pembaca menyalah tafsir apa yang tertulis tanpa sebarang panduan praktis khususnya dalam bab  ibadah khusus seperti solat, haji dan sebagainya.


Selain daripada kreativiti di atas, bahasa persembahan amat memainkan peranan dalam memastikan isi-isi ilmu dapat difahami seterusnya dipraktiskan tanpa mengakibatkan kecelaruan akibat salah faham daripada gaya bahasa penulisan buku-buku agama. Perkara di atas perlu dititik berat khususnya apabila ia berkaitan dengan dakwah kepada bukan Islam dan menyediakan bahan kefahaman untuk saudara baru yang memeluk Islam.


Peranan Agensi Agama


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai bahagian penerbitan mereka sendiri yang pernah tersohor dengan penerbitan Tafsir Bimbingan ar-Rahman, Mustika Hadis (terjemahan tulisan Rumi dan Jawi) dan beberapa kitab lain.
Terbaru, pihak penerbitan Jakim selain daripada menerbitkan beberapa siri kitab rujukan baru dalam masa yang sama menerbitkan semula buku-buku lama dengan persembahan baru. Ia adalah suatu aktiviti yang wajar dipuji.


Namun, menjadi suatu tanda soal kepada kita semua apakah hanya itu peranan bahagian penerbitan Jakim yang pastinya mendapat bajet sekian-sekian jumlah setiap tahun.
 Adakah hanya menerbitkan projek terpilih yang eksklusif dan menerbitkan semua naskhah-naskhah lama. Mengapa tidak ada suatu gerak kerja yang jelas dan lengkap mengenai penerbitan buku-buku rujukan khususnya kepada bukan Islam secara konsisten dan berterusan?


Sedang masyarakat hari ini semakin meningkat kesedaran membaca amat rugi jika pihak agensi agama tidak memainkan peranan yang sepatutnya dan membazirkan tenaga-tenaga para pegawai agama lulusan dalam dan luar negara yang sudah biasa berceramah, menulis dan berdakwah.
Setiap kali ada isu yang berkaitan dengan agama Islam yang perlu diberi penerangan yang rinci kepada bukan Islam khususnya agar tidak salah faham, mengapa tidak segera diterbitkan buku dan diadakan diskusi dan dijadikan silibus pengajian di masjid-masjid.


Pihak agensi agama kerajaan perlu mengambil inisiatif bagi belajar daripada penerbit-penerbit buku Islam yang berjaya seperti PTS Media Pro Sdn Bhd, Telaga Biru Sdn Bhd, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Karangraf Sdn Bhd dan banyak lagi syarikat bagaimana untuk menjadikan bahagian penerbitan yang sangat penting untuk dakwah itu berjaya menerbitkan buku-buku yang menepati citarasa pembaca pada hari ini tanpa menggadaikan nilai ilmi padanya.


Jikapun tidak mahu dan mampu menerbitkan buku-buku tersebut maka menjalinkan kerjasama penerbitan dengan penerbit-penerbit tersebut adalah cara yang terbaik. Selain dapat mengenal pasti buku-buku yang sudah diterima baik dan terbukti di pasaran, Jakim juga boleh membantu pengembangan dakwah melalui penerbitan buku penerbit-penerbit tersebut.


Dengan penerbitan secara meluas buku-buku ilmu ini, saya yakin gejala sekularisme, pluralisme dan liberalisme dapat difahami oleh orang ramai dan mereka bersedia untuk menghadapinya kelak.

 Zahiruddin Zabidi adalah nama pena bagi Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi, seorang novelis, kolumnis dan penceramah bebas. Sudah menerbitkan lebih 12 karya dalam pelbagai genre khususnya penulisan kreatif, motivasi dan agama. Beliau boleh dilawati di http://kalamkhalifah.com/

Tiada ulasan: