Oleh Dinsman |
Ada orang masih menganggap program seni-budaya ini satu program mengisi masa lapang golongan belia yang tidak perlu dibincangkan misalnya dalam satu mesyuarat peringkat negeri, apalagi mesyuarat yang mengenai kewangan. Layaknya hanya tak lebih daripada mendengar satu permohonan bajet dan begitu saja meluluskannya dengan prosedur potongan satu pertiga, tanpa perlu melihat pun apakah isi programnya. Kerana apa? Kerana ia hanya suatu program seni-budaya.
“Kenapa buat program Jelajah Budaya bersama dengan kenduri kahwin orang kampung?” Pula mereka bertanya, kerana mereka hairan, dan kerana hal seperti ini tidak pernah di buat sebelumnya.
Tidak mengapalah. Struktur dan sistem kehidupan masyarakat kita pun masih begitu. Para seniman dan budayawan kita pun masih ramai yang tidak tahu akan adanya struktur dan sistem lain, yang lebih baik daripada itu. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pun baharu inilah kalinya sedang melakukannya – sesuatu yang memang baru, yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Misalnya dalam program Jelajah Budaya ini ada kuliah ilmu yang disampaikan oleh seorang profesor matematik-fizik, mengenai kritikan terhadap para ilmuan Islam yang selama ini mengiyakan saja semua penemuan oleh saintis bukan Islam, dengan hujah kononnya hal tersebut terdapat dalam al-Quran, padahal ayat-ayat al-Quran itu sebenarnya tidaklah bermaksud demikian, dan teori-teori sains itupun tidaklah semestinya benar, (sedangkan al-Quran itu semestinya benar).
Apakah kuliah ilmu seperti itu suatu acara seni-budaya? Ya, itu sebahagian daripada acara dalam program Jelajah Budaya Selangor (JBS). Kenapa, atau bagaimanakah ia menjadi sebahagian daripada acara program JBS, tanyalah Prof Dr Shaharir Mohd Zain; yang turut terlibat dalam perancangan awal program ini, dan turut bersama dalam perbincangan dengan Menteri Besar mengenai program ini, dan tiga lagi program budaya yang lain.
Saya menuliskan hal ini dalam kolum ini bukannya kerana apa, kerana ada beberapa orang yang bertanya dan seperti mempunyai tanggapan yang negatif terhadap seni-budaya. Masih negatif. Mereka bukan saja persoalkan mengapa JBS dibuat bersama dengan kenduri kahwin orang kampung, tetapi mereka juga bertanya mengapa ia dibuat (dianjurkan) bersama dengan masjid, dan dibuat di dalam masjid dan di pekarangan masjid. Malah mereka juga bertanya mengapakah kos untuk publisitinya begitu besar?
Tentunya mereka yang bertanya itu tidak pernah hadir atau berada di kawasan dimana JBS pernah dibuat dan di sekitar waktu JBS dibuat di situ, (sekitar Sg Udang, Klang; dan Rawang), samada beberapa hari sebelumnya atau beberapa hari selepasnya. Kalau mereka pernah hadir di situ pastinya mereka tak akan bertanya begitu.
Atau mereka mungkin bertanya juga – kenapa begitu banyak kain rentang dan banting digantung, dengan gambar-gambar para penulis dan budayawan terpampang di situ, seolah-olah mereka akan bertanding dalam pilihanraya?
Apabila kawan-kawan di Sg Udang dan di Kg Delek bercerita hal orang-orang di situ bertanya apakah A Samad Said akan bertanding di situ dalam pilihanraya akan datang maka gambarnya bergantungan di tiang-tiang lampu sekitar Selat Klang, saya sangat gembira dan menganggap program JBS pertama itu sudah berjaya, walaupun acara-acaranya yang pelbagai itu belum lagi bermula.
Sebab apa saya beranggapan ia sudah berjaya sedangkan acaranya belumpun bermula? Sebab kesan daripada strategi publisiti yang dilaksanakan itu. Apa tujuan program itu dibuat? Tujuannya (antara lain) ialah untuk mempromosi sastera dan budaya, juga mempromosi atau memperkenalkan penulis kepada masyarakat umum. Maka apabila orang ramai – yakni rakyat biasa, orang kampung – sudah bercakap mengenai penulis dan budayawan dalam kehidupan mereka sehari-hari, itu sudah menjadi satu kejayaan.
Kita merakyatkan seni-budaya. Itulah dia!
Publisiti bukan sekadar publisiti. Di sini publisiti melalui kain rentang dan banting yang mempamerkan gambar-gambar seniman-budayawan, dipasang dan digantung dalam jumlah yang banyak di sesuatu daerah, hingga ia menjadi perhatian orang ramai – itu bukanlah sekadar publisiti yang bertujuan memberitahu orang ramai supaya hadir beramai-ramai ke acara yang akan diadakan. Ia membawa tujuan dan matlamat yang lebih daripada itu.
Misalnya Prof Dr Siti Zainon Ismail pun mengakui ada orang bertanya dia (dengan maksud berseloroh tentunya) apakah dia akan bertanding pilihanraya, kerana melihat gambarnya terpampang di jalan-jalan sekitar bandar Rawang.
Fikirkanlah – apabila orang-orang biasa yang tidak pernah tahu mengenai sastera-budaya tiba-tiba melihat gambar-gambar A Samad Said, Siti Zainon, Prof Shaharir, Pyanhabib, Hishamuddin Rais dan Ustaz Shazly terpampang di sekitar bandar – apakah kesannya, apakah mesejnya dan apakah maknanya? Dan apakah implikasinya?
Saya tak mahu jelaskan jawapan kepada soalan-soalan itu, kerana jawapannya tersangat jelas, kalaulah anda mahu berfikir!
Maka selepas ini apabila ditimbulkan perkara seni-budaya dalam sesuatu mesyuarat peringkat daerah, apatah lagi peringkat negeri, janganlah terus memotong bajetnya sepertiga begitu saja tanpa melihat kepada isi kandungan program. Sesungguhnya seni-budaya tidaklah lagi sekadar program golongan belia menghabiskan waktu lapang. Terutamanya di tangan Paksi, seni-budaya sudah mendapat makna yang lebih bermanfaat kepada kehidupan dan tamadun manusia, (kepada masyarakat dan rakyat).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan