Selasa, 11 Disember 2012

Hishammuddin tak serius selesai masalah IC kaum India – Izzah

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu kad pengenalan (IC) kaum India sebagai tidak bertanggungjawab dan cuba mengalih perhatian daripada masalah sebenar.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri itu semalam yang mendakwa masalah 300,000 masyarakat India yang tidak memiliki IC biru hanya cubaan Pakatan Rakyat menanam perasaan benci kepada BN dan mencetuskan konflik perkauman menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, sangat mengecewakan apabila BN sekali lagi menggunakan ‘hantu’ perkauman dan bukannya menyelesaikan masalah tersebut.

“Hishammuddin sebagai menteri berkaitan secara langsung bertanggungjawab ke atas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang gagal atasi masalah sekian lama ini.

“Sebaliknya, beliau kerahkan tugas itu kepada program MyDaftar yang dijalankan oleh MIC yang tidak cekap. Jelas, Hishammuddin tidak ada niat serius untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya pada kenyataan hari ini.

Justeru, KEADILAN mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan kabinet segera menyelesaikan masalah ini dan berhenti menjadikannya sebagai isu perkauman.

“Walaupun majoriti rakyat tanpa warganegara adalah dari keturunan India, ia turut jejaskan kaum Cina, Melayu dan sejumlah rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Rakyat tanpa warganegara teruk menderita sepanjang hidup mereka. Mereka dinafikan peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas lain. Mereka turut dinafikan hak untuk mengundi.

“Mereka sudah pun menjadi warganegara kerana lahir dan hidup di Malaysia. Tiada seorang pun rakyat Malaysia harus dibiarkan tidak berwarganegara,” tegas Izzah.

Untuk menguatkan tekanan kepada kerajaan Umno BN supaya menyelesaikan masalah ini, KEADILAN akan mengadakan himpunan ‘Duduk Bantah’ di hadapan pejabat JPN Putrajaya esok jam 10 pagi.

Tiada ulasan: