Menurut ahli Parlimen Pokok Sena itu, adalah
lebih baik untuk parti masing-masing menjalankan tapisan tersebut
berbanding dilakukan oleh pihak SPRM.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung cadangan agar calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) melalui proses tapisan yang dianggapnya sekadar proses biasa serta tiada tindakan konkrit akan diambil selepas itu.
Menurut ahli Parlimen Pokok Sena itu, adalah lebih baik untuk parti masing-masing menjalankan tapisan tersebut berbanding dilakukan oleh pihak SPRM.
“Isu sekarang jika calon bersih ketika tapisan tersebut, namun selepas jadi wakil rakyat, menteri individu berkenaan terbabit dengan isu rasuah adakah SPRM berani untuk ambil tindakan?
“Soalnya SPRM kena berani ambil tindakan jika wujud kes…bukan sekadar jadi medium penapisan calon.
Walaupun cadangan nak tapis calon ini bagus tapi fungsi dan tindakan SPRM selepas itu yang jadi persoalan.
“Adalah lebih baik parti sendiri yang jalankan penapisan calon-calon ini. Sebab kes yang ada sekarang pun SPRM gagal ambil tindakan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Beliau turut berpendapat cadangan ini hanya taktik Barisan Nasional (BN) untuk menonjolkan personaliti calon yang bersih dan amanah.
Kelmarin, SPRM mencadangkan kerajaan untuk mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon PRU-13 untuk proses tapisan badan itu.
Cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas, termasuk ahli Parlimen atau Adun yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding.
Ia bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan