Saturday, January 7, 2012

Persidangan Kebangsaan DAP 2012: Mahu ke mana DAP?

Oleh Mazir Ibrahim


Pada Ahad ini 8 Januari 2012 bersamaan dengan 14 Safar 1433H akan menyaksikan sebuah parti pelbagai kaum – Parti Tindakan Demokratik (DAP) – yang bakal bersidang di Shah Alam, Selangor.

Perhimpunan kali ini dilihat amat penting dalam waktu yang cukup genting. Ini adalah kerana para ahli dan pemimpin DAP akan menetapkan agenda parti dalam meneruskan legasi ketuanan rakyat yang bebas dari perkauman dan keagamaan yang sempit.

Apa sahaja keputusan, rancangan dan matlamat yang bakal diungkapkan, pasti untuk memastikan parti ini terus dilandasan idealisme dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam gelora politik yang mendatang. Kerana itu juga, ia dilihat sebagai perhimpunan dalam waktu yang genting atau kritikal.

Dalam mengerah intelek dan kudrat tenaga untuk bekerja, tekanan dari parti memerintah cukup menggila sekali. Maka pada kongres kali ini DAP mengajukan tema ‘Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia’. Tema ini jelas dan tepat, tiada konotasi negative, malah ia mengandungi satu pernyataan ‘harapan’ yang besar dalam maksud tema tersebut.

Harapan ahli

Para perwakilan DAP yang akan hadir dari segenap pelusuk negara, sudah tentunya datang untuk memastikan harapan ahli-ahli dan juga rakyat umumnya, agar parti moderat ini akan terus setia memperjuangkan nasib bangsa (nation). Bukan dengan kata-kata, tetapi dengan satu ketetapan yang jelas dengan usaha kerja.

Ahli-ahli dan rakyat hidup dalam persekitaran masing-masing, ada yang miskin, ada yang berada, ada yang berpendidikan tinggi dan ada yang kurang berpendidikan. Inilah latarbelakang ahli dan rakyat yang mendukung DAP.

Justeru, mereka ini semua mahukan nilai kepemimpinan yang bersih, kerajaan dan pentadbiran yang kekal telus demi menjamin kestabilan hidup rakyat. Prestasi cemerlang urus tadbir di negeri-negeri Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang, harus terus dikekalkan dan diperluas ke negeri-negeri yang bakal diterajui kelak (dengan izin Tuhan dan mandat rakyat).

Kehidupan rakyat bergelumang dengan rutin harian, mereka mahu persekitaran yang bersih dari kekotoran sampah-sarap, bersih dari urusan perniagaan kronisme dan rasuah, bersih dari sebarang provokasi melaga-lagakan sifat berpuak-puak dan perkauman.

Semua ini adalah perkara yang dihadapi oleh ahli dan rakyat sehari-harian baik dari tekanan parti UMNO BN, mahu pun kadangkalanya dari segelintir pemimpin Pakatan. Ia adalah suatu hal yang hakikat, inilah yang mereka mahu dijauhkan. Ahli dan rakyat tidak meminta lebih dari itu.

Harapan pemerhati

Tidak dapat dinafikan sama sekali, pasca pilihan raya umum 2008 benar-benar telah mengubah perwatakan atau imej DAP di mata, hati dan minda rakyat Malaysia. Selama ini DAP digambarkan sebagai cauvinis dengan segala konotasi negatif, malah mereka tidak berpeluang langsung untuk mempertahankan diri dan menunjukkan bukti kemampuannya mengurus dan mentadbir sesebuah kerajaan kerana media massa yang kesemuanya dikawal oleh UMNO-BN.

Kini persepsi buruk itu kian melebur. DAP muncul dengan imej baru tanpa menggadaikan prinsip perjuangannya yang ditegakkan dengan ideologi demokrasi sosial serta menyokong penuh sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Asakan demi asakan untuk menconteng arang pada imej baru DAP ini kelihatan menemui titik kegagalan. Inilah hasilnya apabila rakyat memberi peluang kepada parti-parti Pakatan Rakyat khususnya DAP untuk menunjukkan kebolehan mereka. Jika tidak pasti DAP masih bergelut dengan stigma lama UMNO itu.

Di sebalik rangkaian perubahan ini, sebagai pemerhati yang cenderung untuk meletakkan sekian harapan dan sasaran, pastinya mahu melihat sejauh mana kesediaan DAP untuk menyulam dimensi baru politik mereka demi menjadi sebuah parti yang berideologikan jalan tengah, moderat dan penuh dengan kepelbagaian budaya dan ras kaum.

Cabaran ini bukan mudah, dasar parti yang berbilang kaum sememangnya menjadi dasar dan pratiknya. Namun kini, dasar yang sama itu juga tidak semestinya akan memberi impak yang sama seperti sebelumnya.

Keghairahan DAP dengan menjemput bakat-bakat baru dari kalangan Melayu khususnya, pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran, bukan sahaja dari serangan UMNO-BN tetapi juga sentimen, semangat dan setiakawan dari dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Dan jangan kita lupa, sejauh mana iltizam politik di kalangan ahli dan pimpinan pusat DAP dalam isu ini. Apakah mereka benar-benar bersedia untuk menerima perubahan yang bakal memberi kesan dengan kehadiran bakat-bakat baru khususnya di kalangan orang-orang Melayu ini?

Perubahan ini kelak akan berasiosasi antara budaya lama dengan budaya baru yang merangkumi dimensi kerja, fikir dan pendekatan politik. Sungguh pun dasar DAP itu sudah jelas dan kukuh, pelaku-pelaku didalam organisasi yang semakin membesar ini pasti akan berdepan dengan pelbagai ragam.

Pesanan kepada pengkritik DAP

Dalam prospek pilihan raya, DAP berdepan tugas sukar bukan sahaja untuk mempertahankan kemenangan kerusi tetapi mereka juga perlu memastikan kemenangan moral. Ini sudah tentu akan memberi impak besar kepada imej dan kredibiliti DAP.

DAP tidak perlu bimbang dengan segala kritikan melampau dan tidak munasabah, sebaliknya gunakanlah itu sebagai bukti perlaksanaan prinsip mereka sendiri, iaitu ‘Jalan Tengah’. Pengkritik juga boleh melihat bahawa ini adalah pengorbanan besar yang telah dibuat dan dibuktikan oleh DAP – parti yang setia dengan janji dan semangat setia kawan Pakatan Rakyat.

Memang diakui DAP masih tandus dengan kehadiran ahli-ahli dari kalangan Melayu yang benar-benar berkualiti dan memenuhi pakej sebagai seorang pemimpin.

Kini cabarannya lebih besar, bukan sekadar menarik orang Melayu menyertai parti untuk menjadi sukarelawan, pekerja, pemimpin dan calon, tetapi mendapatkan mereka dari kalangan yang bersifat dan bersikap sederhana dan tawadhuk dengan dasar parti serta berjiwa Malaysia.

Kerja ini ibarat mencari seinci jarum dalam rimbunan jerami. Namun ia bukanlah suatu hal yang fantasi atau mustahil. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Kerja, kerja dan teruskan kerja

Untuk membersihkan sekeping lantai sekali pun kita memerlukan kayu mop yang baik, air yang bersih, sabun yang bermutu, berus yang baik dan pekerja yang sihat dan rajin. Hanya dengan pakej ini sahaja yang mampu membersihkan lantai dengan sempurna sebelum berupaya membersihkan sebuah rumah atau sebuah bangunan yang besar.

Keinginan atau azam mesti diterjemahkan dengan usaha kerja. Siapa bilang kerja yang berulang-ulang itu suatu kerja yang bodoh? Kerja berulang bukan bererti di takok lama, ia perlu disertakan dengan inovasi dan cara baru dari semasa ke semasa. Namun ia tetap kerja. Hanya si pemalas sahaja yang mahu melakukan sekali kerja dan bermimpi untuk melihat perubahan besar.

Dan seterusnya DAP akan menyambung segala usaha-usaha ini dengan satu kerja yang cukup besar iaitu “ Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia”. Jika ditanya mahu ke mana DAP, maka inilah jawapannya.

Selamat bersidang. – Roketkini.com

No comments: