Sunday, November 20, 2011

50 penggiat ICT, media baru NS berhimpun

Harakahdaily

SEREMBAN: Seramai 50 orang menyertai Himpunan Penggiat ICT dan Media Baru Negeri Sembilan yang diadakan selama 4 jam mulai jam 2.00 petang di sebuah dewan dekat Senawang pada petang tadi.

Himpunan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob.

Hadir sama adalah Pengarah IT PAS Negeri Sembilan, Samsul Kamal Idris, Pengarah IT PAS Negeri Pahang Ahmad Samsuri bersama 3 ahli jawatankuasanya.

Turut hadir adalah Setiausaha Perhubungan, Ketua Penerangan dan Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan.

Dr. Rosli menyebut, Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan hanya memerlukan 4 kerusi sahaja lagi setelah mempunyai 15 daripada 36 kerusi untuk menguasai kerajaan Negeri Sembilan selepas menerima resolusi yang diputuskan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 yang diadakan sebelum ini dari Pengarah IT Pusat.

Beliau berharap penggiat ICT dan Media Baru yang hadir hari ini dapat mengenal pasti sasaran yang tepat supaya dapat menyampaikan mesej yang berkesan kepada pengundi-pengundi sasaran.

Pengarah IT PAS Pusat, Suhaimi Embong telah memberikan taklimat khas bertajuk ‘Perlaksanaan ICT dan Media Baru Menghadapi PRU ke-13’ dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman pula menyampaikan ucapan berkaitan dengan tajuk ‘Strategi dan kandungan Media menghadapi PRU ke-13’.

Suhaimi dalam taklimatnya berkata, persaingan dalam menguasai ruang siber pada PRU ke-13 nanti adalah kemuncak kepada ‘perang siber’ setelah dimulakan dalam pilihanraya ke-10 dalam tahun 1999 dulu.

Manakala Ahmad Lutfi Othman menyebut pilihanraya umum ke-13 ini adalah paling sengit kepada BN kerana pertama kalinya dapat disaingi secara seimbang oleh PR dengan adanya media baru ini.

Beliau dalam ucapannya turut mengimbau kembali kenangannya bersama harakah dalam menghadapi pilihanraya sejak Pilihanraya Umum ke-8 pada tahun 1990.

No comments: