Sunday, August 28, 2011

Pemuda PAS pandang serius pemerdagangan manusia

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2011 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyenaraikan Malaysia di tangga kedua.

“Laporan ini menunjukkan bahawa isu pemerdagangan manusia di Malaysia berada di paras yang bahaya dan sesuatu tindakan perlu dibuat bagi membanteras gejala pemerdagangan manusia,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, lambakan pekerja asing yang menjadi punca pemerdagangan manusia di negara ini adalah isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan.

DPPM, ujarnya mempersoalkan mengapakah pekerja negara asing boleh masuk secara mudah di negara ini walaupun pelbagai operasi penangkapan dan pembanterasan dijalankan.

“Mengapakah begitu longgarnya kawalan keselamatan di sempadan negara ataupun adakah kerana adanya rasuah yang membenarkan pekerja asing dibawa masuk secara mudah?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, DPPM bimbang dengan lambakan pekerja asing menyebabkan jenayah dan gejala sosial turut berleluasa.

Beliau berkata, jenayah seperti pecah rumah, rompak, mencuri, rogol dan ragut naik mendadak dengan ramainya warga asing di negara ini.

Katanya, kebanyakan golongan wanita tempatan merasa cemas serta tidak selamat untuk keluar rumah ekoran pelbagai jenayah yang terdedah terhadap mereka.

Lebih dari itu, ujarnya kebanyakan warga asing turut mendominasi sesuatu penempatan.

Katanya, warga tempatan kebanyakannya mengeluh kerana kawasan mereka dikuasai oleh warga asing termasuk premis-premis perniagaan yang dibolot oleh warga asing.

Tambahnya, DPPM menggesa kerajaan dan pasukan keselamatan agar mengetatkan keselamatan di sempadan serta kerap melakukan serbuan ke premis dan kawasan perladangan serta pembinaan.

Menurutnya, majikan yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam mengambil pekerja asing di tempat mereka perlu diambil tindakan.

Katanya, tindakan keras perlu diambil terhadap mana-mana premis hiburan yang menjalankan pemerdagangan manusia seperti menjadikan warga asing perempuan sebagai pelacur.

Seharusnya, kata beliau pusat-pusat hiburan tidak lagi dibenarkan beroperasi memandangkan kesan buruk kepada masyarakat lebih banyak daripada kesan baik.

Selain itu, katanya kerajaan perlu menghadkan kuota warga asing di negara ini.

“Setiap identiti warga asing perlu dikenalpasti dan diketahui lokasi mereka. Selepas tamat kontrak, warga asing ini perlu dihantar pulang,” katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku, selepas tamat sesuatu kontrak pekerja ini bebas mencari pekerjaan lain sehingga mampu bermastautin di negara ini bertahun lamanya.

Akhir sekali, kata beliau DPPM juga mengharapkan kerajaan agar menangani jenayah pemerdagangan kanak-kanak di negara ini.

“Ia merupakan suatu perkara serius memandangkan di kebanyakan tempat, kanak-kanak dijadikan alat untuk meminta sedekah.

“Sindiket pemerdagangan kanak-kanak perlu diburu dan diperangi habis-habisan kerana ia suatu jenayah kejam dan tidak boleh dimaafkan,” katanya lagi.

No comments: