Calon tidak semestinya dari Dewan Pemuda PAS, kata Ketua Pemuda Nasrudin Hassan Tantawi.
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mahu 40 peratus calon yang dipilih pucuk pimpinan parti nanti terdiri daripada golongan muda dan muka baru.
“Dewan Pemuda konsisten dalam pendiriannya agar pucuk pimpinan memilih calon muda. Calon tersebut tak semestinya dari Dewan Pemuda.
“Dia boleh dipilih dari peringkat mana sekali pun dan dari dewan mana sekali pun,” kata Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang turut menegaskan faktor calon boleh menang ketika dihubungi FMT.
Beliau turut menyatakan bahawa barisan Pemuda PAS sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.
“Kita sudah bersedia dari segi fizikal, mental, teknikal dan taktikal dan telah pun mengambil selekoh terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum,” jelas Nasrudin.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan gerak kerja dan transisi yang dibuat kerana ia tidak boleh didedahkan kepada umum.
Nasrudin ditanya berhubung keluar fatwa yang menyeru orang Islam menyokong calon terutamanya di kawasan luar bandar dan berhadapan dengan calon bukan Melayu parti lawan yang dilaporkan digunakan semasa kempen PRU ke-12.
Namun beliau menafikan bahawa seruan tersebut sebagai fatwa.
“Itu disiplin parti bukan fatwa,” jelas Nasrudin yang mengakui bahawa ia satu kaedah mendapatkan undi, sambil menambah, “seruan tersebut adalah untuk semua rakyat dan bukan pengundi Islam semata-semata.”
Nasrudin turut ditanya berkenaan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pernah menyifatkan mereka yang tidak mengundi PAS sebagai orang jahilliah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang awal tahun ini.
“Ertinya kita dalam PAS membawa kebenaran yang disokong hujah. Jika kebenaran ini ditolak, maka ianya sama seperti golongan jahilliah,” terang Nasrudin.
Dalam sejarah Islam golongan jahilliah telah menolak kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.
No comments:
Post a Comment