Monday, August 1, 2011

Kontrak: Lim anggap MCA berfahaman sempit

Fakhri Ali


BUTTERWORTH: Tindakan Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang mempertikai kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, kerana didakwa memberi kontrak Jabatan Pengaliran dan Saliran Pulau Pinang kepada kontraktor Bumiputera dan India Muslim dianggap sebagai tidak matang dan berfahaman sempit.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh MCA tidak jauh bezanya dengan Umno yang menjadi rakan karib dalam BN.

"Jika kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu, MCA akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kita membantu masyarakat bukan Melayu, Umno pula akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat Melayu.

"Sekiranya pemikiran dan sikap begini masih lagi menjadi ikutan dan amalan, maka pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang hidup harmoni, tanpa prejudis tidak akan tercapai.

"Oleh kerana itulah, apabila Umno seolah-olah gila talak kerana hilang kuasa, maka MCA juga kempunan untuk mengikut rakannya dengan menyalak tanpa hala tuju yang positif," ujarnya pada perasmian Jalan P Patto di Mak Mandin pagi tadi.

Sehubungan itu katanya, seandainya kuasa diberikan kepada BN, tidak mustahil banyak perpecahan dalam hubungan antara kaum akan terus berlaku, apabila perjuangan bangsa seperti yang diamalkan oleh komponen BN menjadi amalan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, turut menyeru MCA supaya menyedari hakikat bahawa mereka bersama-sama dengan MIC dan Gerakan, sudah tidak mampu lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terhadap perjuangan mereka bagi membela nasib rakyat di Pulau Pinang.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh dan barisan exco serta kepimpinan kerajaan negeri.

No comments: