Tuesday, August 2, 2011

Ketua Pakatan hanya yang berada dalam Pakatan

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat tidak sekali-kali dipilih dari para pemimpin NGO dan parti-parti politik lain, sebaliknya hanyalah terbuka kepada pemimpin-pemimpin yang berada dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Oleh itu, dakwaan yang mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah akan dilantik menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, ternyata tidak berasas dan hanyalah disifatkan sebagai permainan politik Umno semata-mata.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) menjelaskan, dakwaan yang ditimbulkan media itu sebenarnya adalah mahu memberi tekanan kepada Tengku Razaleigh agar beliau menyatakan pendiriannya berhubung kedudukannya dalam parti kini sama ada mahu terus bersama Umno atau tidak.

Menurut beliau, di pihak Pakatan Rakyat, perkara itu tidak berbangkit kerana Tengku Razaleigh bukannya berada dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini Tengku Razaleigh tidak pula menjawab dakwaan itu bagi menyatakan pendiriannya, walaupun ia merupakan satu tekanan kepada beliau sendiri untuk menjawabnya.

"Sungguhpun begitu, tindakan Tengku Razaleigh yang menubuhkan sebuah NGO baru, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) amat kita persetujui dan alu-alukan kerana ia akan membangkitkan satu lagi suara di tanah air kita.

"Tapi kalau sekadar pemimpin NGO, tidak berada dalam barisan kepimpinan Pakatan Rakyat, tidak berbangkit untuk Tengku Razaleigh hendak dilantik sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat," katanya ketika menjawab soalan Harakahdaily pada majlis tazkirah di pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Perlantikan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, menurut beliau, tidak pernah dibincangkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat kerana perkara itu tidak pernah berbangkit dalam gabungan tersebut.

"Malah dakwaan mengenainya disifatkan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'lawak jenaka' seperti yang disiarkan Harakahdaily hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru (Bebas), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mengatakan beliau telah mendapat maklumat bahawa Pakatan Rakyat mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk dilantik sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain yang merupakan bekas ahli PKR itu mendakwa pelawaan terhadap Tengku Razaleigh itu dibuat oleh Pakatan Rakyat sebagai persiapan Pakatan Rakyat menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi, ekoran Anwar berhadapan masalah berhubung kontroversi video seks dan dipercayai akan dipenjarakan berikutan kes liwat.

Ekoran dakwaan itu, beberapa blogger Umno kemudiannya menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah dalang utama yang merancang untuk membawa Tengku Razaleigh ke dalam Pakatan Rakyat.

Mereka mendakwa terdapat satu pertemuan di kediaman Menteri Besar Kelantan antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan anak-anak pejuang Umno termasuk anak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris, Mazlan Harun bersama anak Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar serta seorang pegawai berkerja di rumah Tengku Razaleigh.

"Lawak jenaka!, Itulah saja yang boleh saya sifatkan kepada khabar angin yang mengaitkan saya dengan perbincangan rahsia untuk melantik YBM Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya nasihatkan, sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar. Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak," kata Nik Aziz mengulas perkara itu melalui Facebook.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menasihati para pemimpin dan ahli-ahli Pakatan Rakyat agar tidak terpengaruh dengan permainan politik Umno itu.

"Dakwaan yang tidak berasas itu tentunya turut mempunyai maksud untuk melaga-lagakan antara para pemimpin Pakatan Rakyat dengan sesama pemimpin Pakatan Rakyat, Tengku Razaleigh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya.

"Jadi para pemimpin dan ahli-ahli parti yang berada dalam Pakatan Rakyat perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan permainan Umno itu demi kepentingan Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Ramadhan bulan tarbiyah

Sebelum itu, dalam tazkirahnya, beliau turut mengingatkan setiap umat Islam agar berusaha mempertingkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah sempena ketibaan bulan Ramadhan tahun ini.

"Setelah Ramadhan demi Ramadhan kita lalui, sepatutnya Ramadhan tahun ini menjadikan iman dan ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat.

"Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang meliputi perjuangan untuk akhirat dan keduniaan, selaras dengan tuntutan Allah yang perlu terus kita pertingkatkan lagi dari semasa ke semasa terutama dengan ketibaan Ramadhan tahun ini," katanya.

Cabaran Ramadhan, katanya, antara lain adalah agar setiap muslimin dan muslimat menjadi hamba Allah yang lebih baik dalam pelbagai aspek, sejajar dengan latihan dan praktikal ibadat puasa itu sendiri yang memberikan pelbagai bimbingan, ilmu dan pengalaman kepada setiap orang dari segi kerohanian.

Katanya, pengalaman itu pula tidak terkecuali sama ada yang dikumpulkan dengan hanya melibatkan individu itu sendiri sahaja dan menerusi jemaah, termasuk melalui solat tarawih dan berbuka puasa secara berjemaah.

No comments: