KUALA LUMPUR— Penulis blog, Amizudin Ahmat hari ini mengemukakan rayuan terhadap perintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana kesalahan memfitnah beliau.
Amizudin, 42, memfailkan rayuan itu menerusi firma guaman Ong Jaya & Co.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof pada 19 Julai lepas juga memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.
Pada 31 Januari lalu, Rais, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat, berhubung makalah berkenaan yang tersiar dalam blog penulis itu berserta foto Rais pada atau kira-kira pada 28 Disember lalu.
Tulisan itu disiarkan dalam laman sharpshooterblogger.blogspot.com.
Dalam saman yang difailkan, Rais menuntut ganti rugi umum, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi punitif, faedah dan injunksi terhadap defendan supaya membuang dan menghalang defendan daripada terus menyiarkan makalah berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata kesemua perkataan dalam makalah itu berniat jahat dan berbaur fitnah terhadap beliau.
No comments:
Post a Comment