MALAYSIA KINI
Pertubuhan majikan dan pekerja hari ini menggesa kerajaan supaya menangguhkan segera program pengampunan bagi 1.2 juta pekerja tanpa izin yang bermula hari ini.Ini kerana langkah yang sedang dilaksanakan untuk mendaftar pekerja sah menggunakan sistem biometrik adalah tidak lengkap dan dipenuhi masalah.
"Pelaksanaan kedua-dua langkah ini secara serentak adalah tugas besar yang tidak berupaya dikendalikan oleh pihak berkuasa," kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.
Cadangan asal adalah untuk memulakan program pengampunan pada 11 Julai namun ditangguhkan kerana Kementerian Dalam Negeri berdepan masalah untuk melantik ejen dan jentera untuk pendaftaran pula belum ditempatkan.
Sebaliknya kementerian memutuskan untuk melaksanakan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, bermula dua minggu lalu dan masih dalam pelaksanaan dengan tiada tarikh akhir ditetapkan untuk menyiapkan proses itu.
Shamsuddin berkata pendaftaran pekerja yang sah menggunakan sistem biometrik yang sedia ada mengandungi terlalu banyak masalah dan ia perlu diatasi segera sebelum proses itu boleh diselesaikan.
Sehingga kini hanya 600,000 pekerja sah daripada anggaran kira-kira 1.2 juta pekerja yang telah didaftarkan.
"Memandangkan terlalu banyak perubahan dibuat kepada program itu dalam masa lebih kurang sebulan, semua pemegang kepentingan - majikan, pekerja, perwakilan asing, malah beberapa pegawai imigresen yang ditugaskan - menjadi keliru," kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Dr Irene Fernandes.
"Melainkan perancangan rapi dijalankan, keseluruhan usaha ini akan menemui kegagalan," katanya.
Irene mengesyorkan agar Kementerian Dalam Negeri menyediakan garis panduan yang jelas mengenai program pengampunan dan memastikan ia mempunyai keupayaan untuk memantau proses pendaftaran supaya pekerja serta majikan tidak tertipu.
No comments:
Post a Comment