Saturday, August 27, 2011

Dakwat kekal: Buka pintu rundingan

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji penggunaan dakwat kekal membuktikan SPR membuka pintu rundingan untuk membincangkan cadangan penggunaannya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, ia menunjukkan SPR akur walaupun pada awalnya berkeras dan menolak tuntutan dikemukakan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) serta Pakatan Rakyat (PR).

“Pas tetap konsisten dan tegas bahawa kita tetap mahukan dakwat kekal. Hanya dengan dakwat kekal, SPR dapat memastikan setiap pengundi tidak akan mengundi lebih dari sekali.
“Dakwat kekal telah dipraktikkan negara Komanwel di dunia ini di mana ia terbukti, walaupun tidak 100 peratus tetapi ia boleh memaksimumkan keberkesanannya,” katanya.

Salahuddin berkata, keberkesanan dakwat kekal ini dapat dilihat dan tidak memerlukan kos tinggi sedangkan biometrik belum teruji, mahal dan tidak boleh memastikan setiap individu mengundi hanya sekali sahaja.

“Sistem biometrik adalah satu sistem yang belum teruji dan kosnya begitu tinggi untuk digunakan dalam PRU akan datang dan ianya belum tentu memberikan keberkesanan maksimum, khususnya mengesan dan memastikan tiada yang mengundi lebih sekali,” katanya.

Beliau meletakkan harapan agar SPR memandang serius dan bersungguh-sungguh dalam usaha melaksanakan dakwat kekal dalam PRU kelak.

Katanya, jika SPR gagal berbuat demikian, Pas perlu melakukan tindakan lain dan berusaha menggunakan seluruh prosedur yang ada seperti rundingan, perbincangan, dialog, parlimen serta medan dalam masyarakat.

“Kita tidak akan putus asa dan kita akan bekerja kuat untuk memastikan ia dilaksanakan dalam PRU akan datang,” katanya.

No comments: