KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan agar tidak ghairah untuk memutihkan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini, sebaliknya memberikan lebih tumpuan bagi membersihkan daftar pemilih untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi. Namun tindakan kerajaan BN menerusi KDN yang begitu bersungguh-sungguh melaksanakan program pemutihan Pati ke negara ini sekarang amat meragukan kerana ia dilihatkan seperti mempunyai muslihat tertentu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program pemutihan Pati yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan BN sekarang dibimbangi turut dijadikan satu alat untuk kerajaan BN mendapatkan pengundi klon bagi pihak mereka.
Menurut beliau, kebimbangan beliau itu sememangnya berasas memandangkan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno kini sudah semakin keterlaluan sehingga sanggup memberikan taraf kerakyatan yang begitu mudah kepada warganegara luar.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab Kerajaan BN itu ternyata semakin keterlaluan kini sehingga ia di luar kotak pemikiran warganegara yang prihatin.
"Kita sendiri pun menjadi hairan apabila warganegara asing terlalu mudah dapat taraf warganegara ini. Jadi kita bimbang program pemutihan Pati itu juga turut memudahkan lagi usaha Kerajaan BN mendapat pengundi klon yang sekarang sudah begitu besar jumlahnya," katanya pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, semalam.
Pendatang asing di negara ini, menurut beliau, sememangnya lebih banyak yang masuk tanpa izin atau secara gelap berbanding yang masuk dengan izin.
Katanya, PAS yakin Kerajaan BN dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab tahu perkara itu dan dapat mengatasinya jika benar-benar dikehendaki.
Bagaimanapun, kedatangan pendatang tanpa izin ke negara ini tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan. Sebaliknya, ia dimanfaatkan oleh Kerajaan BN bagi menambah pengundi bagi pihak mereka, apabila mereka disahkan sebagai pengundi menerusi program tertentu yang diadakan termasuk pemutihan Pati.
"Kita lihat ada mainan antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku pembekal data dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pengguna data JPN itu.
"Menteri Dalam Negeri mesti bertanggungjawab dalam hal ini. Rakyat sedang mendesak Kerajaan BN membersihkan data pemilih, bukannya pemutihan Pati.
"Jadi sebelum memutihkan Pati, Kerajaan BN mestilah membersihkan data pemilih bagi pilihanraya terlebih dahulu. Jika tidak tak payahlah Kerajaan BN nak putihkan Pati kerana ia bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah lagi," katanya.
Keraguan PAS berhubung perkara itu, katanya, samalah juga dengan keraguan dengan cadangan penggunaan sistem biometrik dalam pilihanraya yang dicadangkan oleh SPR di tengah desakan rakyat agar SPR menggunakan dakwat kekal.
Tuntutan tersebut, katanya, merupakan salah satu dari 8 tuntutan PAS dan Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan oleh SPR yang terdiri daripada bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimia 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. |
No comments:
Post a Comment