KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan mengadakan program sempena Hari Pekerja 1 Mei ini dengan tema ‘Raikan hari pekerja, amati Buku Jingga’, kata Pengarah Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Abdullah Sani berkata, antara tujuan program itu bagi memastikan tuntutan gaji minima benar-benar dilaksanakan kerajaan sebagaimana yang dituntut kesatuan sekerja sejak dahulu hingga kini.
“Pekerja sehingga kini terus tertanya-tanya, apakah status tuntutan gaji minimum. Jawapan kerajaan setiap kali diajukan mengenainya hanya menyatakan ‘kita akan kaji dan bentang pada mesyuarat kabinet’.
“Bila kita tanya, bila akan dibentang, tiada jawapan diberikan. Ini bukti jelas kepentingan pekerja di Malaysia bukan agenda Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Pada muka surat 23 Buku Jingga, di bawah dasar bersama Pakatan Rakyat, antara lain berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
Selain itu ia juga akan memperkenal Akta Peluang Saksama bagi memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua rakyat, sekiranya gabungan itu mengambil alih Putrajaya.
Malah, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali menegaskan dalam ceramahnya bahawa Pakatan Rakyat tetap menurunkan harga Minyak sebaik membentuk kerajaan baru pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat menjelaskan, tujuan program itu juga bagi mendesak kerajaan menurunkan harga barang yang kian melambung dari semasa ke semasa.
“Samada kerajaan Persekutuan suka atau tidak, kenaikan harga barang cukup memeritkan majoriti rakyat di negara ini yang kebanyakannya golongan miskin.
“Setiap sen kenaikan harga barang bermakna penurunan berangkai bagi pendapatan golongan pekerja khasnya gaji yang kekal rendah,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, Buku Jingga amat penting untuk diamati seluruh rakyat khasnya golongan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.
“Kandungan Buku Jingga amat sesuai dengan tuntutan penurunan harga barang, gaji minimum dan pelbagai keperluan rakyat Malaysia.
“Sebab itu, program ini kita namakan sedemikian rupa,” katanya lagi.
Abdullah Sani yang mewakili KEADILAN akan bersama-sama wakil PAS, DAP yang terlibat mengenai hal ehwal kebajikan pekerja di negara ini akan mengadakan mesyuarat pertama mereka awal Mei ini bagi memperincikan pelaksanaan program tersebut.
“Alhamdulillah, setakat ini, semuanya berjalan lancar dan kita berharap golongan pekerja konsisten membaca, memahami dan membantu mempromosikan agenda Buku Jingga demi manfaat seluruh rakyat,” katanya yang juga bekas Naib Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Semalam, sebanyak 25 kumpulan yang terdiri daripada parti politik, NGO dan persatuan mahasiswa menuntut kerajaan menghentikan segala bentuk sandiwara dalam pelaksanaan akta gaji minimum.
Sempena deklarasi Hari Pekerja Sedunia itu, kumpulan tersebut juga menuntut BN mengawal kenaikan harga barangan yang berterusan naik sehingga membebankan rakyat ekoran kenaikan kos hidup yang semakin tinggi.
No comments:
Post a Comment