Thursday, April 28, 2011

Pemuda MIC Sokong Tuntutan Pekerja Ladang Bukit Jalil

TVS NEWS

KUALA LUMPUR : Pemuda MIC menyokong tuntutan 4 ekar tanah oleh bekas Pekerja Ladang Bukit Jalil (LBJ) daripada Kerajaan Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur demi menyelesaikan masalah perumahan penduduk berkenaan.

Exco Pemuda MIC, P Punithan hari ini tampil memberi sokongan terhadap penduduk LBJ di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

"Mereka sepatutnya diberikan hak untuk tinggal di situ kerana mereka penduduk, bukannya setinggan. Tuntutan mereka adalah wajar. Dari 26 ekar hanya 4 ekar.Dan seperti yang dikatakan Perdana Menteri, rakyat diutamakan, kita kena utamakan perkara ini,"katanya.

Kenyataan Punithan ini dilihat bercanggah dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini yang menyebelahi Kerajaan Pusat dan mahu penduduk LBJ berpindah.

Punithan bagaimanapun menyatakan Pemuda MIC diwakili ketuanya T. Mohan akan bertemu Subramaniam dan menyatakan pendirian mereka dalam perkara ini.

"Kami bersedia untuk berjumpa dengan Dr Subra untuk menyatakan hal ini. Saya yakin ketua pemuda MIC T Mohan akan berbincang untuk penyelesaian perkara ini,"katanya lagi.

Penduduk LBJ mendapat notis pengusiran dari pihak DBKL 1 Mac lalu atas alasan tanah itu diperlukan untuk pembangunan.

Bagaimanapun, tawaran bayaran ex-gratia yang ditawarkan kerajaan Pusat dilihat tidak mencukupi dan tidak adil oleh penduduk itu.

Penduduk LBJ kemudiannya memfailkan perintah interim injuksi kepada mahkamah bagi menghalang DBKL merobohkan rumah mereka.

Mereka turut mencadangkan agar 4 daripada baki 26 ekar tanah ladang tersebut yang dilaporkan telah dijual kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI) sebagai tanah perkuburan diberikan kepada 41 keluarga yang masih tinggal di kawasan tersebut.

Pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Persatuan Prograsif India Malaysia AP Raja Retinam menyatakan DBKL telah bertindak membelakangi penduduk LBJ dalam soal ini.

"Saya rasa ini adalah satu perkosaan hak rakyat. Kerana DBKL memang tahu pekerja ladang masih tinggal di sana. Sepatutnya DBKL beritahu penduduk hendak duduk sini atau tidak kerana saya nak jual tanah ini kepada orang lain. Tapi mereka belakangkan hak rakyat," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Prihatin Hak Pekerja Ladang (Power) yang mewakili gabungan NGO kaum India, Gobi Krishnan menyatakan permintaan tersebut
kecil dan mampu dipenuhi kerajaan.

"Apa kami mahu hanyalah 4 ekar sahaja. Sedangkan saya rasa Rumah (Datuk Seri) Najib lebih dari 4 ekar keluasannya. ini 40 keluarga minta hanya 4 ekar. Nak beri 21 ekar kepada JAWI, kami tak halang. Tapi berikan hak mereka. Jika rakyat Malaysia sendiri tidak dapat tanah, di mana lagi mereka hendak tinggal?,"soalnya.

No comments: