Monday, February 28, 2011

Dakwaan tidak berasas

SINAR HARIAN ONLINE


BATU 3, JALAN KAPAR - Dakwaan pihak tertentu bahawa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak tampil membantu mangsa kebakaran di Kampung Sungai Pinang Dalam, 7 Februari lalu adalah tuduhan tidak berasas.

Ketua Kampung Batu 3, Mohd Darin Samijo berkata, pemimpin PR turun padang menolong dua keluarga yang tidak mempunyai kediaman dan membawa mereka ke Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Sungai Pinang untuk sementara waktu pada malam kejadian.

Menurutnya, sembilan mangsa juga menerima RM500 setiap seorang yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

“Dakwaan yang wujud hanya ingin menjatuhkan PR dan kita sedaya upaya membantu kesemua mangsa walaupun selebihnya mengambil pendekatan menumpang sementara di rumah jiran dan saudara terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, dua keluarga masing-masing berketurunan Cina dan India yang tidak mempunyai keluarga kemudiannya dipindahkan ke Flat MPK, di Bandar Baru Klang selepas dewan terbabit digunakan untuk satu majlis.

“Oleh itu, saya harap tiada pihak yang memburuk-burukkan pemimpin PR kerana kita semua bekerja keras membantu kesemua mangsa kebakaran,” katanya.

Sinar Harian, 9 Februari lalu, menyiarkan dakwaan mangsa kebakaran dan pihak tertentu bahawa pemimpin PR tidak membantu mangsa pada kejadian malam 7 Febuari lalu.

No comments: