Sunday, February 27, 2011

Calon PAS, media tinjau kedhaifan pekan Kerdau

Harakahdaily

TEMERLOH: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kerdau, Hassanuddin Salim membawa wakil media yang berkampung membuat liputan pilihan raya di sini meninjau sekitar Pekan Kerdau untuk melihat kedhaifan pembangunan di situ.

Kata penyelaras lawatan tersebut, Hashim Abdullah di kesempatan PRK ini, beliau mahu pihak media sendiri menjadi saksi bagaimana tahap pembangunan di kawasan Kerdau yang kononnya dikatakan maju dan tidak ada masalah.

(Gambar: Hassanuddin menyantuni penduduk di sebuah kedai kopi di pekan Kerdau.)

"Saya harap media melaporkannya untuk membuka mata pihak terbabit. Selama ini sudah lama orang Kerdau menagih pembangunan, tetapi tidak langsung di hiraukan," katanya.

Pekan Kerdau merupakan Pekan lama yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Temerloh atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pekan yang terletak di antara laluan utama Temerloh-Jerantut ini pernah menjadi penting semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an.

Waktu itu keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.

Bagaimanapun apabila menyaksikan sendiri, pekan ini tidak ubah seperti pekan zaman 40-an, walaupun sudah lebih 50 tahun negara merdeka.

Salah satu lokasi dilawati oleh wakil media bersama calon PAS ialah stesen keretapi Kerdau yang semakin tidak berfungsi dan dhaif.

Sedangkan pernah satu ketika, stesen keretapi Kerdau merupakan antara yang penting kepada masyarakat setempat.

Kewujudan stesen keretapi yang terletak di laluan yang menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai ini pada asalnya menjadi pemangkin kemajuan Pekan Kerdau kerana pekan ini menjadi salah satu tempat persinggahan keretapi untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

(Gambar: Hassanuddin dan wakil media meninjau stesen keretapi di pekan Kerdau.)

Malah, sejarah juga mencatatkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.

Namun apa yang dilihat hari ini, stesen keretapi Kerdau sudah tidak lagi berfungsi sebagai perhentian utama.

Tiada kuanter jualan tiket di sini, yang ada hanyalah sebuah bangunan seperti pondok menunggu bas dan tandas awam yang tidak lagi boleh digunakan.

Manakala bangunan asal stesen keretapi ini hanya tinggal tapak yang dinaiki semak samun dan kelihatan sebuah rumah kayu terbiar yang dikatakan pernah menjadi kuarters para pekerja keretapi.

Menurut penduduk di situ, tidak ada usaha untuk memulihara stesen tersebut sama ada untuk tujuan memajukannya atau untuk mengekalkan kesan-kesan sejarah di situ.

Wakil media juga dibawa menyelusuri Pekan Kerdau yang sebahagian besarnya deretan bangunan kayu dua tingkat yang amat usang.

Jelas pekan ini amat ketinggalan, malah melihat aktiviti ekonomi melibatkan penduduk sekitar dan peniaga di situ tidak keterlaluan mengatakan pekan Kerdau tersisih dari arus pembangunan yang diwar-warkan oleh kerajaan kononnya sedang rancak di laksanakan ketika ini.

Walaupun Kerdau hanyalah sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (Dun), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk di sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa.

Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.

Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.

Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.

Menurut penduduk di situ, pekan Kerdau sebelum ini lebih hidup dan aktiviti ekonominya sangat berkembang.

Antaranya Pekan Kerdau dikatakan pernah menjadi tumpuan orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka dikatakan telah membuka gedung-gedung perniagaan.

Selain itu, peniaga-peniaga Cina juga ramai datang menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.

Pekan Kerdau juga menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945.

Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang.

Di situ juga terdapat pekan sehari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.

Bagaimanapun realiti hari ini, Kerdau tidak menunjukkan pernah wujud sebagai sebuah lokasi tumpuan dan maju satu ketika dahulu.

Kebanyakan penghuni di situ hanyalah orang-orang tua, yang banyak meluangkan masa di kedai-kedai kopi.

'Kerdau ini bandar orang pencen, budak-budak semua cari kerja di luar," kata seorang penduduk veteran yang ditemui di pekan itu.

Wakil media juga di bawa meninjau satu-satunya pusat kesihatan yang ada Kerdau.

Bukan sahaja kecil dan usang, sukar bagi sesiapapun untuk memikirkan bagaimana sebuah bangunan kayu yang menjadi tempat operasi pusat kesihatan ini masih di kekalkan untuk menampung hampir lima ribu penduduk di Kerdau.

Selain itu, tiada sebuah pun klinik swasta beroperasi di sini dan juga di seluruh Kerdau.

Kata Hashim, selain daripada pusat kesihatan ini, penduduk terpaksa pergi ke Temerloh untuk mendapatkan sama ada hospital ataupun pusat perubatan swasta di situ.

Di Pekan Kerdau juga, wakil media dibawa ke lokasi pembinaan kuarters anggota polis yang terletak bersebelahan dengan sekolah Cina.

Kuarters polis ini sebenarnya sebuah projek gajah putih di Kerdau, projek untuk membina tiga blok bangunan setinggi empat tingkat itu sebenarnya telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Lebih ironis lagi, para penduduk di situ selama ini telah mempersoalkan pembinaan kuarters yang begitu besar di Pekan Kerdau sedangkan anggota polis yang bertugas di situ hanyalah sekitar 13 orang.

Mengulas perkembangan di Kerdau, Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masih terlalu banyak masalah rakyat setempat yang perlu dibangkitkan kepada kerajaan.

Malah beliau turut membidas sikap sombong Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan tiada isu perlu dibangkitkan di negeri ini.

"Kami akan memberi maklumat ini (masalah-masalah rakyat) kepada Adnan untuk beliau jawab," tegasnya.

Tuan Ibrahim juga mengharapkan di kesempatan ini, rakyat Kerdau membuat pilihan bijak dengan memilih wakil PAS untuk mewakili mereka dalam Dun Pahang.

"Saya percaya Hassanuddin berkeupayaan untuk membawa suara rakyat Kerdau dalam Dun dan beliau akan menjadi suara pengimbang yang berkesan kepada kerajaan.

"Saya yakin beliau akan memikul tangungjawab untuk menegur serta membetulkan kepincangan yang berlaku dalam urusan pentadbiran negeri supaya kerajaan sentiasa berada dalam landasan yang betul," ujar Tuan Ibrahim.

No comments: