KUALA LUMPUR – Langkah Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan tidak harus dianggap sebagai isyarat muktamad bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat, kata penganalisis dan pemerhati politik.
Penganalisis politik Dr Ong Kian Ming ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, ia bukan petanda bahawa pilihan raya umum akan diadakan awal tahun depan sebagaimana diramalkan kebanyakan pihak.
“Apa yang jelas pilihan raya umum akan diadakan diadakan dalam 18 bulan ini dan keputusan Umno adalah petanda jelas minta jentera Umno bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum... itu saja, ia kita boleh anggap sebagai prosedur operasi standard (SOP) di pihak Umno,” kata beliau.
Bagaimanapun negara akan menyaksikan pilihan raya negeri Sarawak tahun depan memandangkan mandat semasa akan berakhir Julai 2011.
Mandat kerajaan persekutuan hanya akan berakhir Mei 2013.
“Ada ruang kecil pada bulan Januari untuk memanggil pilihan raya Sarawak dan jika tidak ia akan diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina,” kata beliau.
Bagaimanapun pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Umno menangguhkan pemilihan parti yang dijadual tahun depan bukannya petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan seperti yang diramal sesetengah pihak.
“Ia bukan bertujuan untuk pilihan raya tetapi untuk kukuhkan parti supaya setiap ahli parti tidak lagi berfikir hendak bertanding untuk jawatan (kerana) pergerakan di bawah mencaturkan politik boleh membawa kesan kepada kekukuhan parti kita,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi mengumumkan bahawa parti itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual diadakan antara awal dan akhir tahun depan selama 18 bulan untuk memantapkan parti.
Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata keputusan itu tidak melanggar perlembagaan parti kerana ia telah tiga kali dibuat sebelum ini.
Dalam pada itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, penangguhan pemilihan agung Umno 2011 yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semalam supaya rakyat terus melihat Umno stabil dalam membuat persiapan jentera pilihan raya, bukan sekadar isyarat pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal atau mengelak “masalah PKR” berulang dalam Umno.
Kata pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia ini berkata Najib mahu akar umbi parti oang Melayu tersebut mengetepikan perebutan jawatan dalam parti yang dianggap tidak sihat di sisi rakyat.
Tidak seperti Parti Keadilan Rakyat sejak awal pemilihan cabang lebih sebulan yang lalu hinggalah selepas selesainya Kongres Nasional Ahad lalu, menurut Sivamurugan, terus dipertikai dari segi integriti, semangat demokrasi serta proses pemilihan yang menggunakan sistem undian langsung.
“Perebutan jawatan pada proses pemilihan parti adalah lumrah, Umno juga bakal melalui pengalaman seperti PKR tetapi dengan penangguhan proses pemilihan peringkat pusat, bahagian dan cawangan akan meletakkan politik Umno dalam keadaan stabil.
“Rakyat melihat kestabilan dan kekecohan yang berlaku dalam mana-mana parti dan pemimpin Umno mahu rakyat melihat partinya terus stabil dengan persiapan-persiapan (pilihan raya) ini.
“Ia mungkin proses persiapan jentera pilihan raya, tetapi bukan isyarat pilihan raya (umum) akan diadakan lebih awal,” ujar Sivamurugan kepada The Malaysian Insider.
Pendapat itu katanya ekoran Najib yang juga Perdana Menteri sendiri pada Perhimpunan Agung Umno lalu mengumumkan perubahan itu sebelum awal tahun depan.
Kata Sivamurugan lagi, Najib tentunya akan menggunakan masa penangguhan selama 18 bulan itu membuat beberapa persiapan dalaman.
“Najib juga akan dijangka akan merombak organisasi Umno di peringkat negeri pada hujung bulan ini yang sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk memperkukuh organisasi peringkat negeri.
“Barangkali Najib serta timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menjelajah di setiap negeri untuk memberi tunjuk ajar serta latihan perjenteraan (pilihan raya) peringkat bahagian dan negeri kerana rombakan kepimpinan peringkat negeri sudah tentu memerlukan proses penyesuaian.”
Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman pula berkata penangguhan pemilihan agung Umno itu memberi isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa yang terdekat iaitu dalam 18 bulan dari sekarang.
Menurut pensyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Najib tidak mungkin akan mengambil masa yang lama kerana dengan berbuat demikian membolehkan PKR serta parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PAS - memperbaiki imej masing-masing di kalangan rakyat.
“Apabila penangguhan itu dibuat, dalam masa 18 bulan ini kemungkinan ada pilihan raya.
“Tidak sihat kalau pemilihan parti (Umno) diadakan menjelang pilihan raya, (tetapi) tidak sihat juga kalau Umno mengambil masa yang begitu lama untuk membuat persiapan parti kerana akan memberi peluang kepada pesaingnya memulihkan kekuatan mereka juga.
“Kalau pilihan raya umum (ke-13) sudah selesai, perebutan jawatan atau kalah menang dalam pemilihan agong Umno kelak tidak akan menjejaskan parti Umno atau menguntungkan pesaing mereka (Pakatan Rakyat).”
Pun begitu, beliau menolak anggapan awam bahawa Najib akan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat disebabkan “kekocohan” dalam PKR atau masalah dalaman dalam Pakatan Rakyat sendiri.
“Saya tidak nampak hubung kaitan tindakan Najib ini dengan masalah yang sedang melanda PKR.
“Imej PKR dan Pakatan Rakyat mungkin dilihat tidak tenang dan aman, tetapi ia tidak cukup untuk Umno walaupun Umno (dilihat) lebih tenang dan aman.
“Sebab itu PKR cuba menangani (kekecohan) ini dengan lebih cepat, kalau Najib lewat mungkin kestabilan politik tidak lagi menjadi kelebihan bagi Umno,” ujarnya lagi.
Kali pertama MT Umno menunda pemilihan parti ialah pada 1999 sebelum pilihan raya umum tahun itu.
11 comments:
penangguhan pemilihan UMNO adalah bagi mengukuhkan parti supaya setiap ahli parti tidak lagi berfikir hendak bertanding untuk jawatan.
rasanya, lebih baik jika semua pihak menumpukan untuk bekerja untuk rakyat daripada asyik berkata tentang PRU.
PRU13 belum ditentukan lagi bila akan diadakan. apapun kita kena bersedia.
Apa perkara lain yang perlu dibuat terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO tersebut. Jadi kita tunggu bila akan dilaksanakan.
Ikut suka hati Umno apa yang mereka mahu buat. Tiada beza pun jika mahu tangguh ataupun diawalkan.
Yang penting semua orang dah bersedia menjalankan pemilihan pada bila-bila masa.
Persediaan awal perlu dilakukan sebelum PRU13.
Penanguhan pemilihan parti ini mungkin memberi peluang untuk memperbaiki parti masing-masing.
tidak perlu terburu2 mengadakan PRU walaupun kedudukan BN semakin kukuh dan stabil. konflik yang berlaku dalam komponen Pakatan rakyat belum tentu mampu mempengaruhi minda rakyat dalam membuat pertimbangan. oleh itu, biarlah setelah BN benar2 stabil atau segala tuntutan rakyat dapat dipenuhi barulah BN memutuskan untuk mengadakan PRU.
Yang penting semua bersedia untuk PRU 13 nanti.
Menjadi tanda tanya bagi semua lapisan masyarakt. Namun setiap parti perlu bersedia untuk berhadapan dengan PRU di masa akan datang.
Post a Comment