Wednesday, December 1, 2010

Imigresen diberi tempoh sebulan garis pembaharuan

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kepimpinan baru Jabatan Imigresen diberi tempoh sebulan untuk menggariskan perancangan, pembaharuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan terhadap jabatan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadangan itu harus dibentangkan kepada beliau pada Januari depan bagi membolehkan tindakan seterusnya.

"(Cadangan itu) seperti mengenai kebajikan mereka, perkembangan kerjaya, perumahan, elaun dan sebagainya mesti diselesaikan jika mereka benar-benar mahu menghapuskan rasuah.
"Hanya apabila mereka berpuas hati kebajikan mereka terjaga, maka baru dapat kita bina ketahanan diri terhadap rasuah," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Imigresen, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau bersama kepimpinan kementeriannya akan turun ke bawah bagi menggerakkan perubahan menyeluruh untuk jabatan tersebut bermula tahun depan.

Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata, kerangka penambahbaikan itu juga harus meliputi usaha untuk menangkis persepsi negatif yang melanda jabatan tersebut.

"Kita wajar mengetengahkan pelbagai cerita kejayaan jabatan ini sebagai bukti bahawa ia bukan sahaja mempunyai tanggungjawab yang besar, malah mempunyai potensi yang jauh lebih besar untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada negara dan rakyat," katanya.
Katanya, kerajaan juga kini berusaha melakukan penambahbaikan terhadap Jabatan Imigresen termasuk mewujudkan Gred KP48 dan KP44, sebagai tambahan kepada KP42, bagi memantapkan laluan kerjaya pada kalangan warga Imigresen.

Beliau berkata, seramai dua orang dilantik sebagai Penguasa Imigresen Gred KP48 dan 19 dilantik Penguasa Imigresen Gred KP44 iaitu pertama kali dalam sejarah jabatan itu.

"Seramai 19 lagi dinaikkan Penguasa Imigresen Gred KP42," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, dalam ucapannya berkata pengeluaran pasport Malaysia mencatatkan peningkatan saban tahun dan sehingga Oktober lalu sebanyak 1.52 juta telah dikeluarkan.

Katanya, jumlah itu dijangka meningkat kepada 2.1 juta pada tahun depan.

"Peningkatan itu boleh diterjemahkan sebagai lambang kestabilan politik, pengukuhan ekonomi, sosial dan keselamatan negara ini yang dinikmati oleh rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA

14 comments:

Mohd Ishak said...

Jabatan imigresen ini perlulah meningkatkan perkhidmatan mereka.

tombolo said...

jabatan imigresen perlu membuat pembaharuan bagi meningkatkan mutu kerja mereka.

zam said...

harap pembahruan yang dilakukan akan menjadikan Jabatan Imigresen menjadi lebih cekap dan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Anonymous said...

jika penambahbaikan hanya menjurus kepada kebajikan mereka, belum tentu ada jaminan bahawa prestasi kerja mereka juga akan meningkat. rasuah sukar dibendung kerana kemahuan manusia tiada had sempadannya. oleh itu, mana2 pegawai atau tenaga kerja imigresen yang pernah melakukan kesalahan wajar dibuang kerja..

Anonymous said...

apa2 pun saya harap cadangan penambahbaikan ini mampu memantapkan serta mengembalikan kepercayaan orang awam terhadap fungsi Jabatan Imigresen..

gambir said...

harap jabatan immigresen dapat juga masukkan KPI untuk menangani masalah pati

gambir said...

baguslah...dengan kenaikan pangkat tersebut maka pihak immigresen juga sentiasa memperbaiki mutu perkhidmatan

Paquin said...

Ngam la tu. Gariskanlah sebaik mungkin :)

Paquin said...

Semoga pembaharuan yang bakal digariskan nanti dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan Jabatan :)

manjaman said...

Cadangan dan usaha-usaha memantapkan dan menaiktarafkan Jabatan Imigresen adalah amat tepat sekali dilakukan oleh menteri KDN bagi memastikan keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara terjaga dan terpelihara. Semoga ini akan menjadi pemangkin kepada semua anggota Imigresen untuk memberi perkhidmatan cermerlang.

manjaman said...

Usaha untuk menaikan gaji ataupun elaun dan menambahbaikan keadaan tempat kerja anggota perkhidmatan awam adalah amat wajar terutama sekali jabatan imigresen yang memikul tanggungjawab yg besar terhadap keselamatan negara yang mana terdapat negara yang telah dibuktikan berjaya memerangi gejala rasuah dengan memberi gaji yang tinggi terhadap semua penjawat awamnya seperti negara Singapura.

Sanih Alias said...

Semoga Jabatan ini akan memberikan yang terbaik dengan mutu perkhidmatannya nanti.

Unknown said...

Garis panduan itu perlulah diuruskan dengan sebaiknya. Ini adalah untuk kebaikan jabata itu sendiri.

Antanum said...

Sebulan? Semestinya mencabar jabatan imigresen untuk menyiapkan usul tersebut dalam masa yang singkat. Ini juga mencabar kecekapan mereka dan semoga garis pembaharuan ini dapat disiapkan dan dilaksanakan dengan segera.