Kes 12 pemimpin Sabah digantung
Oleh Staf FMT
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin PKR, dari Semenanjung dan Sabah, menyelar Ketua Umum Anwar Ibrahim berhubung peranannya mencadangkan penggantungan 12 pemimpin di negeri di Bawah Bayu itu, yang taat kepada Naib Presiden Jeffrey Kitingan.
Bagi memburukkan keadaan, mereka berkata, Anwar terus membisu dan membiarkan orang-orangnya memanipulasi keadaan ini dengan tidak mendedahkan apa yang sebenar berlaku.
"Banyak perbincangan dan insiden yang berlaku sejak setahun lalu melibatkan 12 pemimpin ini dan situasi di Sabah kini diputar belit oleh orang-orang Anwar. Ini tidak baik untuk parti," kata pemimpin-pemimpin itu.
Beberapa pemimpin senior parti turut kecewa dengan sikap Anwar yang "berpura-pura" beliau tidak tahu mengenai perjanjian damai yang dicapai pada 13 Disember lalu, termasuk tidak mencari kesalahan terhadap orang-orang Jeffrey.
Bagaimanapun, di sebalik tabir, kami tahu bahawa Anwar tahu dengan jelas mengenai apa yang telah dibuat untuk menyekat 12 pemimpin ini, termasuk menyekat pengaruh Jeffrey.
"Kami hanya boleh membuat kesimpulan bahawa Anwar berbohong. Beliau pernah melakukannya sebelum ini. Pertama mengenai pengambil-alihan 16 September dan kemudian dakwaan tawaran RM2 juta untuk wakil-wakil PKR yang berpaling tadah dan sekarang kes 12 pemimpin ini. Ia seolah-olah kelihatan beliau membuat pembohongan secara bersiri," seorang pemimpin senior memberitahu FMT.
Para pemimpin parti memilih untuk tidak dikenali kerana bimbang akan akibatnya dari parti, terutama memandangkan pilihan raya akan di adakan bulan November depan.
Permainan tidak adil
Pemimpin-pemimpin parti melahirkan rasa kecewa dengan pertukaran tarikh mesyuarat biro politik yang berpengaruh dalam parti pada saat-saat akhir dari 8.00 pagi kepada 2.30 petang Rabu lalu, hari yang sama ketika Jawatankuasa Disiplin mendengar kes 12 pemimpin di Penampang, Sabah.
Pada mesyuarat biro politik yang di adakan di ibu pejabat parti di sini, keputusan telah dicapai bahawa keputusan muktamad mengenai nasib 12 pemimpin itu akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada hari Ahad. Keputusan ini telah dibuat sebelum jawatankuasa disiplin selesai mendengar kes ini lagi (yang tamat pada 4.00 petang hari Rabu).
Perubahan masa ini menghalang Jeffrey dari memberi keterangan berhubung kes untuk membela 12 pemimpin ini kerana tiket penerbangan beliau telah ditempah untuk mesyuarat jam 8.00 malam.
"Ini pertanda jelas orang-orang Anwar memastikan insiden ini mengikut perlembagaan parti tetapi pada hakikatnya, keputusan telah dibuat untuk menggantung 12 pemimpin ini," kata pemimpin-pemimpin parti.
Kebimbangan di kalangan pemimpin-pemimpin ini sekarang ini ialah MPP, yang dikuasai oleh Anwar, akan membiarkan Anwar membuat keputusan muktamah mengenai penggantungan tersebut.
"Akhirnya, Anwar mungkin sekali lagi mahu berunding dengan Jeffrey mengenai masa depan 12 pemimpin itu tapi kami yakin rundingan seperti ini hanya akan menguntungkan Naib Presiden Azmin Ali dan para penyokongnya di Sabah, bukan kumpulan Jeffrey," kata mereka.
Anwar tahu semua
FMT mendapat tahu pada mesyuarat biro politik, pemimpin seperti Tian Chua, Chua Jui Meng dan Fuziah Salleh mendesak Anwar supaya berpegang kepada perjanjian damai dan tidak mengambil tindakan terhadap 12 pemimpin itu.
Bagaimanapun, hujahan mereka ditangkis oleh Azmin dan Anwar sendiri, dengan menyatakan parti telah bersetuju dengan perjanjian damai Disember lalu tanpa mengetahui bahawa 12 pemimpin itu telah membuat permohonan untuk menubuhkan parti baru.
Anwar dan Azmin berhujah bahawa jika mereka tahu 12 pemimpin itu telah membuat permohonan untuk menubuhkan parti baru, mereka tidak bersetuju dengan perdamaian.
"Ini adalah bohong semata-mata. Anwar tahu aspek perjanjian damai secara terperinci, termasuk bahawa 12 pemimpin itu akan menarik balik permohonan mereka untuk menubuhkan parti baru di bawah perjanjian damai itu.
"Chua (Jui Meng) adalah di antara mereka yang hadir ketika perjanjian damai dimeterai di Eastin Hotel, Petaling Jaya. Beliau tahu kebenarannya dan begitu juga beberapa pemimpin senior yang lain. Mereka tahu Anwar berbohong," kata seorang pemimpin parti.
Pemimpin-pemimpin ini berselisih faham tentang alasan yang diberi oleh Azmin untuk mengenakan tindakan terhadap 12 pemimpin ini apabila beliau melabel mereka para pemberontak Sabah ini sebagai tidak mempunyai "prinsip dan integriti" pada mesyuarat biro politik itu.
"Ini memang pelik. Beliau melabel mereka tidak mempunyai prinsip dan integriti. Beliau sepatutnya mengajukan soalan itu kepada dirinya sendiri dan Anwar terlebih dahulu," tambah pemimpin parti itu.
Pelan induk
Dua belas pemimpin itu dihadapkan ke prosiding tata tertib berhubung peranan mereka untuk menubuhkan Parti Cinta Sabah tahun lalu.
Idea untuk menubuhkan parti baru dicadangkan oleh beberapa pemimpin PKR Sabah berikutan pertikaian sengit di antara Jeffrey dan Azmin, hingga menyebabkan Jeffrey yang menjawat Ketua PKR Negeri diganti.
Bagaimanapun, di bawah perjanjian damai yang dimeterai pada 13 Disember di sini, Jeffrey diamanahkan untuk memantau negeri Sabah dan Sarawak dan orang lain dilantik untuk menyelia hal ehwal Sabah. Azmin dikeluarkan sama sekali dari senarai pemimpin negeri itu.
Perjanjian damai itu juga untuk memastikan tidak terdapat lagi langkah mencari kesalahan terhadap mereka yang dituduh untuk menentang parti pada masa itu dengan menyokong Jeffrey.
Pemecatan atau walau penggantungan sekali pun, ke atas 12 pemimpin ini menyebabkan mereka tidak boleh memainkan peranan lagi pada pilihan raya parti nanti. Para penyokong melihat peristiwa ini sebagai perancangan Azmin dan para penyokongnya untuk menyekat kemaraan lawan mereka dalam parti.
Semalam, Jeffrey mengingatkan Anwar kesan buruk akan berlaku jika perjanjian damai dikoyak rabak.
No comments:
Post a Comment