Sunday, August 29, 2010

Najib mahu SPRM siasat dakwaan penguatkuasa rasuah

BERNAMA

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pegawai dan anggota penguatkuasa jabatan dan agensi kerajaan yang ditugaskan menjaga perairan serta pintu keluar masuk di negara ini yang didakwa terbabit dengan amalan rasuah.

Perdana Menteri turut menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan terhadap mereka terbabit.

“Kalau ada macam itu, kita mesti menyerahkan kepada SPRM menyiasat dan mengambil apa-apa tindakan kalau sekiranya terbukti ada penerimaan wangsogokan,” katanya selepas majlis penyampaian dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok dan Tanam Semula komersial Risda 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai terdapatnya anggota penguatkuasa yang didakwa menerima wang sogokan lumayan menyebabkan pelabuhan Jeti Pulau Ketam mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Dakwaan itu membabitkan anggota dari Jabatan Imigresen, Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin yang ditugaskan menjaga perairan negara dan pintu keluar masuk jeti di pelabuhan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, siasatan menyeluruh juga perlu dilakukan SPRM di semua pintu masuk di negara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

Ditanya mengenai tindakan Wee Meng Chee atau Namewee yang pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan video klip ‘Negarakuku’ dan terbaru video klip berunsur perkauman iaitu “Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!!,” Perdana Menteri meminta pihak berkuasa bertindak menyiasat perkara itu.

“Kita tengok... jika ada bukti cukup boleh dakwa dan serah kepada mahkamah untuk jatuhkan hukuman,” katanya.

Ditanya sama ada kecenderungan individu seperti Namewee yang beberapa kali melakukan perbuatan sedemikian, Najib berkata kerajaan tetap mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara kaum termasuk mencetuskan isu perkauman.

“Jangan orang kata kita tidak ambil tindakan. Amaran kita bukan kosong tetapi benar-benar ambil tindakan. Jika kita ambil tindakan kita mesti ada bukti yang konkrit dan mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya,” katanya.

No comments: