Saturday, May 1, 2010

Urus Tadbir Selangor ‘Mesra Pekerja’

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha memperkenalkan banyak program bagi mengurangkan beban pekerja dan membolehkan rakyat dapat berkongsi kekayaan hasil negeri itu.

"Kita wajar memberi penghargaan kepada para pekerja semua sektor kerana merekalah sebenarnya tunjang penggerak ekonomi negara. Kekayaan hasil bumi negara dan negeri harus dirakyatkan," Kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perutusannya semperna hari pekerja.

Khalid ibrahim juga berkata kerajaan negeri juga telah menetapkan dasar tadbir-urus yang baik dan telus serta bertanggungjawab bagi memastikan ketirisan tidak berlaku dan memberi keyakinan kepada pelabur untuk berurusan.

Kerajaan Negeri Selangor juga katanya telah menetapkan bahawa paras garis kemiskinan yang sesuai di negeri ini ialah pada kadar RM1,500 sebulan.

"Pada tahun 2008 dan 2009, Kerajaan Negeri Selangor berjaya mendapatkan jumlah projek industri tertinggi di Malaysia dan menduduki tempat kedua dalam pelaburan modal.

"Kerajaan Negeri Selangor berada tangga kedua kerana Kerajaan Negeri Sarawak yang mendapat pelaburan modal sebanyak sekitar RM7 billion untuk projek tunggal pengekstrakan aluminium di Bintulu. Tanpanya, Kerajaan Negeri Selangor akan menduduki tempat teratas," kata Khalid.

Beliau berkata dasar yang mesra pelaburan penting kerana program-program kebajikan tidak dapat dijalankan dengan lancar tanpa penjanaan pertumbuhan yang baik.

"Sambil kerajaan berusaha mengkaji untuk memperkenalkan dasar yang sesuai untuk menjana pertumbuhan dan memperbanyakkan program kebajikan, para pekerja juga harus menunjukkan produktiviti kerja yang tinggi.

"Hanya dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing barulah peluang untuk kita melonjakkan taraf hidup yang baik dapat dicapai," jelas Khalid.

Akhirnya beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja kepada semua pekerja.

"Semoga masa depan kehidupan kita semua akan bertambah baik untuk manfaat bersama," jelas beliau lagi.

No comments: