Pakatan Rakyat memuji Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kerana memulakan aduan rasuah di Mahkamah Perancis berhubung urus niaga bernilai RM 4.7 bilion di antara Kerajaan Malaysisa dan DCN, konglomerat senjata terbesar Perancis. Urus niaga ini melibatkan Razak Baginda, yang dikenali sebagai penasihat kepada Perdana Menteri Najib Razak sehinggalah berlakunya pembunuhan penterjemah Mongolia, Altantuya Shariibuu di Malaysia.
Sistem keadilan Malaysia, secara khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) gagal mengenal pasti isu-isu rasuah yang kini sedang dibawa SUARAM ke dalam sistem perundangan Perancis. Amat mengaibkan, rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Perancis untuk mendapatkan penjelasan dan ketelusan terhadap rasuah yang membazirkan berbilion ringgit duit orang ramai.
Namun demikian, ia bukan hanya tentang kegagalan SPRM.
Pembunuhan Altantuya juga masih belum diselesaikan. Seluruh negara tahu bahawa dua orang anggota polis yang disabitkan kesalahan, Azilah Hadri dan Sirul Azhar hanyalah perkakas yang digunakan untuk membunuh Altantuya. Ibarat telah ada alat sepucuk pistol tetapi siapa yang menarik picu melepaskan peluru? Kesemua lembaga-lembaga negara kita - polis, Jabatan Peguam Negara dan Kehakiman telah gagal, secara sengaja atau akibat kecuaian untuk memberikan jawapan kepada soalan mustahak ini.
Beberapa soalan penting yang masib belum berjawab berkaitan dengan urus niaga kapal selam dan pembunuhan sensasi:
Apakah peranan Perdana Menteri Najib Razak dalam urus niaga kapal selam tersebut, hubungan dengan penasihatnya Razak Baginda yang membuat keuntungan luar biasa daripada urusniaga itu dan penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu?
Apakah yang dimaksudkan dengan meminta bantuan yang dibuat Razak Baginda kepada Musa Safri, Ketua Pengawal Najib pada malam 19 Oktober 2006 melalui telefon selepas Sirul dan Azilah sampai dengan seorang anggota polis wanita, Lans Koperal Rohainaza serta membawa pergi Altantuya dari hadapan rumah Razak di Bukit Damansara dan tidak ditemukan lagi selepas itu? Siapa yang mengarahkan anggota polis terbabit ke sana?
Apakah yang dibuat pegawai khas Najib Tun Razak selama 20 tahun, Nasir Safar memandu kereta Proton merah yang muncul di hadapan rumah Razak, beberapa ketika sebelum anggota polis tersebut muncul dan membawa Altantuya pergi?
Apakah Nazim Razak menawarkan sejumlah wang yang besar kepada penyiasat persendirian Balasubramaniam (gambar kiri) dan juga mengancam keluarganya apabila dia bertemu Bala pada malam 3 Julai 2008 selepas Bala mengeluarkan pengakuan bersumpahnya yang pertama?
Apa pula penglibatan Deepak Jaikishan yang dikenal rapat dengan Rosmah Mansor dalam pembuatan akuan bersumpahnya yang kedua, serta peranannya dalam mengaturkan pertemuan di antara Nazim Razak dan Bala?
Bagaimana dengan kewujudan gambar yang diperkatakan Burmaa OyunChinmeg, sepupu Altantuya, yang menunjukkan Najib, Razak dan Altantuya makan malam bersama di sebuah restoran di Paris? Kenapa Arnaud Dubus, wartawan Perancis, berkata bahawa bapa Altantuya memberikan gambar tersebut kepada bekas Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia, Syed Abdul Rahman Alhabshi dari Wisma Putra Malaysia. Abdul Rahman kemudiannya memberikan gambar tersebut kepada pihak polis yang akhirnya hilang selepas itu.
Kenapa syarikat yang baru ditubuhkan Razak Baginda, Perimekar terlibat dalam urus niaga kapal selam ini memandangkan ianya tidak memiliki keupayaan, kemampuan kewangan atau kepakaran untuk mendokong pemberian kontrak tersebut?
Mengapa kerajaan tidak berurusniaga secara langsung dengan konglomerat senjata Perancis tersebut?
Siapa yang memberi arahan untuk membunuh kerana dua orang pengawal tersebut tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya?
Kenapa penyiasat persendirian Balasubramaniam yang membuat perakuan bersumpah dan dakwaan lainnya terhadap penglibatan Najib dan para pegawainya (Musa Safri dan Nasir Safar) lari dari Malaysia? Apakah yang perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan Bala untuk ikut terlibat dalam penyiasatan ini?
Mengapakah pembantu Najib, Musa Safri dan Nasir Safar tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan?
Pakatan Rakyat amat menyokong penyiasatan ini dibuat atas kepentingan keadilan serta ketelusan. Pakatan Rakyat juga mendesak kerajaan dan institusi-institusi negara yang berkenaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya serta jujur dalam penyiasatan ini.
*Kenyataan media daripada Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment