TV SELANGOR
SHAH ALAM : Kebebasan media yang diharap-harapkan rakyat sekian lama hanya boleh dicapai melalui kemahuan politik yang tinggi selain kesungguhan pelbagai pertubuhan dalam mempejuang hak berkenaan.
Demikian kesimpulan yang disampaikan Editor Malaysiakini versi Bahasa Malaysia, Fathi Aris Omar.
“Saya rasa itu perkara yang susah. Itu memerlukan political will, azam atau tekad politik yang luar biasa,” katanya kepada TV Selangor.
Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat, kekangan pihak berkepentingan akan mengakibatkan kebebasan media yang diimpikan masyarakat hanya tinggal impian.
Ujar Fathi, tanpa usaha berterusan untuk mendesak kerajaan pemerintah memberi kebebasan penuh kepada pengamal media, ia adalah misi mustahil.
“Saya tak nampak jalanlah. Itu bergantung kepada kerajaan, NGO, wartawan, aktivis untuk menekan kerajaan supaya ada perubahan. Buat masa ini, tidak banyak pihak yang mengambil inisiatif. Isu ini memerlukan desakan berterusan,” katanya.
Fathi juga menyifatkan masalah seperti permit tahunan turut memberi impak negatif dalam industri media di negara ini.
Kekangan ini menyebabkan kuasa media semakin terkongkong hingga menghakis nilai ketelusan dalam menyampaikan informasi.
“Isu paling besar, soal permit tahunan. Persaingan sihat tidak berlaku. Sesiapa memiliki media baik kumpulan kanan, kumpulan kiri mahupun kumpulan tengah dan mahu buat radio, televisyen, akhbar sendiri, patuta dibenar selagi mereka bertanggungjawab,” katanya.
No comments:
Post a Comment