Tuesday, May 4, 2010

Dr Abu Hassan: Malaysia Masih Gagal Amal Konsep Kebebasan

Oleh Sidiqin Omar


SHAH ALAM- Pensyarah Kanan Jabatan Media Universiti Malaya, Prof Dr Abu Hasan Hasbullah berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju menjelang 2020 masih gagal mengamalkan prinsip kebebasan.

Dalam pengamatannya, Dr Abu Hassan berkata kerajaan sering memberi tanggapan terhadap media bebas bahawa ia dikaitkan dengan unsur subversif dan anarki.

Keadaan ini berbeza dengan kemahuan rakyat yang inginkan media yang bebas, demokratik dan liberal yang dinilai dari sudut statistik, data dan kajian.

"Sebagai manusia yang bertamadun, kita perlu meraikan perbezaan walaupun terdapat kritikan dan hujah yang bertentangan dengan pandangan kita. Masyarakat yang bijak akan menghormati maklumat dan membuat penilaian dengan jujur", jelas beliau kepada Suara Keadilan.

Beliau mendedahkan masih terdapat pihak yang menganggap informasi dan berita sebagai satu ancaman. Dalam sebuah masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian, proses tersebut tidak dapat dielakkan dan media harus diberi ruang untuk memposisikan pendirian.

"Kuasa politik tidak dapat menghalangnya kerana keputusan akhir akan ditentukan oleh orang ramai," kata Dr Abu Hassan.

Dr Abu Hasan yang juga pengasas Pusat Kajian Zentrum Future Studies Malaysia iaitu satu badan penyelidikan bebas yang mengendalikan penyelidikan transdisiplin berkenaan dengan prediksi masa depan mengakui pernah menjadi mangsa 'campur tangan kekuasaan'.

Namun sebagai ahli akademik, beliau menganggap tugas dan risiko tersebut merupakan tanggungjawab sosial yang perlu diisi demi memajukan bangsa dan negara.

Baginya, toleransi masyarakat terhadap media di negara ini masih dalam fasa pendidikan dan orang ramai perlu sedar mengenai fungsi dan penyertaan mereka dalam arus maklumat.

Beliau menegaskan, media tidak harus condong kepada pihak tertentu tetapi seharusnya berpihak sepenuhnya kepada maklumat.

Ia merupakan sistem dan alat untuk memajukan masyarakat walaupun proses perkongsian maklumat untuk mencipta perubahan akan memakan masa yang lama katanya lagi.

"Kita lihat negara Indonesia sebagai contoh terdekat. Suatu ketika dulu, kekangan yang dahsyat berlaku kepada para wartawan dan penulis di sana menghadapi ancaman dan tindakan fizikal ke atas mereka. Namun, selepas proses reformasi yang panjang sehingga lebih 30 tahun, media di negara tersebut dianggap sebagai antara yang wibawa di rantau ini," jelas Dr Abu Hassan.

Justeru itu beliau optimis dengan fungsi dan peranan media di Malaysia yang mampu untuk memberikan maklumat dan ilmu dalam proses pembinaan negara bangsa.

"Usaha perubahan kepada masyarakat yang bertamadun adalah melalui proses kematangan media. Media yang adil dan telus hanya dapat diwujudkan dalam sebuah negara yang bebas dan menghormati fungsi maklumat," jelasnya.

No comments: