KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Pusat akan mendesak tindakan segera diambil kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang bagi menyekat peningkatan premis judi di negeri-negeri yang dikuasai oleh parti itu.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, Pemuda Pas tidak akan berkompromi dalam isu tersebut kerana perjudian merupakan satu kemungkaran dan tidak diizinkan mana-mana agama sekalipun.
"Jika benar dakwaan terdapat peningkatan premis perjudian di negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang, Dewan Pemuda Pas akan mengambil tindakan sewajarnya supaya tindakan itu menjadi contoh untuk negeri-negeri lain.
"Pihak berkuasa tempatan di negeri-negeri terbabit boleh menggunakan kuasa mereka untuk tidak memperbaharui lesen premis perniagaan itu dan ini dapat menyekat premis perjudian baru terus beroperasi kelak," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mencabar kerajaan negeri itu menarik balik lesen lebih 4,500 premis perjudian dan rumah urut di seluruh Selangor sekiranya pakatan pembangkang benar-benar berhasrat untuk menghapuskan kegiatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan