Apapun alasan Datuk Seri S Samy Vellu bagi memecat timbalan ketua pemuda parti itu, V Mugilan, pasti ramai tahu apa cerita disebalik tindakan tersebut. Semuanya bermula bila nama Mugilan tiba-tiba panas dan meletup untuk jadi calon bertanding pada pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor April lalu.
Difahamkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah setuju dengan nama Mugilan setelah pengundi-pengundi di Hulu Selangor menolak timbalan presiden MIC Datuk G. Palanivel bertanding semula.
Akhirnya jentera BN terpaksa akur dengan pencalonan Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan untuk bertanding yang diputuskan beberapa jam sebelum majlis pengumuman calon. Muhyiddin dalam ucapan di majlis itu percaya Mugilan mempunyai peluang yang cerah untuk bertanding pada masa depan dan berharap pemimpin pemuda itu bersabar. Barangkali perkara inilah yang menyekat halkum Samy Vellu untuk menelan kebenaran bahawa Mugilan bakal jadi bintang dalam MIC satu hari kelak sama seperti Cikgu K.Parthiban yang turut diuar-uarkan akan bertanding di Hulu Selangor Jika tidak masakan beliau menghubungi bekas wakil rakyat Ijok itu marah-marah sebaik sahaja nama Parthiban dilaporkan turut jadi pilihan bertanding dalam pilihanraya kecil itu.
Bagaimanapun, Samy Vellu hanya mencari masa yang sesuai untuk melepaskan amarahnya kepada Mugilan yang pernah mengkritiknya gara-gara pemilihan calon di Hulu Selangor. Justeru itu, apabila timbalan ketua pemuda itu mengeluarkan kenyataan yang mahukan bekas menteri kerja raya itu melepaskan jawatan presiden MIC secepat mungkin, Samy Vellu tidak perlu berfikir panjang.. Dengan membelakangkan jawatankuasa disiplin parti, Samy Vellu hanya berunding dengan Palanivel untuk membuat keputusan memecat Mugilan, pada Khamis.
Mustahil bagi Palanivel menentang keputusan Samy Vell yang sudah berjanji menyerahkan jawatan Presiden MIC kepadanya tahun depan. Bagi mereka yang sudah biasa melihat susur galur politik MIC, parti itu sejak diketuai Samy Vellu 31 tahun lalu penuh dengan insiden pemimpin yang dipecat dan ‘dimatikan’ karier politiknya. Lihat saja apa yang menimpa bekas timbalan presiden Tan Sri M.G.Pandhitan dan Datuk Dr. S. Subramaniam. Pemimpin-pemimpin yang cuba bersuara demi kebaikan parti akan ditunjuk ‘jalan keluar’ oleh presiden MIC itu demi kesinambungan dan suvival politiknya.
Walaupun Ketua Pemuda MIC, T.Mohan mendakwa wujud ‘Mastermind’ atau individu tertentu yang menjadi perancang di sebalik tindakan Mugilan mendesak Samy Vellu melepaskan jawatannya sebagai presiden parti berkenaan secepat mungkin, ianya sukar dipercayai. Mustahil Mugilan mahu mengkhianati kepercayaan Najib dan Muhyiddin kepadanya yang pada awalnya sudah setuju beliau dipilih bertanding di Hulu Selangor. Mustahil juga bagi Mugilan membakar jambatan sedangkan jika ambil kira cakap Muhyiddin, jambatan cukup besar menanti Mugilan yang dilihat amat berpotensi sebagai pemimpin pelapis MIC.
Barangkali ini semua helah Samy Vellu untuk memastikan pemimpin-pemimpin MIC yang berada dalam parti apabila beliau melepaskan jawatan kelak adalah mereka yang boleh mendengar cakapnya. Sebab itu juga, beliau umum akan menilai prestasi setiap ketua cawangan parti ke arah memantapkan lagi jentera parti di peringkat akar umbi sebelum melepaskan jawatan. Jelaslah walaupun sudah 11 penggal menerajui MIC, Samy Vellu masih mahu menjadi legasi dalam parti kaum India di negara ini walaupun kebelakangan ini, sokongan terhadap parti itu terus dipertikaikan.
Pemecatan Mugilan hanya melengkapkan segala persepsi orang ramai terhadap kepimpinan Samy Vellu sebelum ini yang tidak boleh dikritik atau ditegur walaupun oleh pemimpin parti demi kebaikan MIC. -20/5/2010/agendadaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan