FREE MALAYSIA TODAY
KUALA LUMPUR : Senator Dr Syed Husin Ali hari ini membuat usul tergempar di Dewan Negara untuk membahaskan isu penyerahan dua blok pengeluaran minyak kepada Brunei Darussalam.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, penyerahan Blok M dan Blok L tersebut sesuatu yang merugikan rakyat serta mencalar kedaulatan negara.
Baginya, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang wajar menerima usul itu memandangkan penjelasan yang dibuat oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri dalam media massa sebelum ini kurang memuaskan.
“Penjelasan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri kurang memuaskan, saya buat usul pagi tadi, saya harap Yang Dipertua menerima resolusi itu,” jelas beliau di lobi Dewan Negara hari ini.
Justeru itu, beliau mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan tampil di Dewan Rakyat membentangkan kertas puteh berhubung penyerahan dua telaga minyak tersebut yang kononnya hanya mendapat kelulusan kabinet sahaja.
Tambahnya lagi, kerajaan turut digesa mendedahkan inti perjanjian Kuala Lumpur – Bandar Seri Begawan berkaitan status geo-politik wilayah Limbang, yang kononnya kekal menjadi milik Malaysia selepas kabinet bersetuju menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut.
Ekoran itu, beliau mempersoal kenyataan Abdullah bahawa keputusan kabinet menyerahkan kedua-dua telaga minyak itu kepada Brunei sebagai ‘situasi menang-menang’.
“Kalau ‘situasi menang-menang’ dengan Brunei, bagaimana dua telaga minyak yang begitu kaya boleh menjadi milik orang, Brunei sendiri menafikan dakwaan kita kononnya Limbang menjadi milik kita (Malaysia),” soal beliau.
Mengulas mengenai pendedahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa negara telah kehilangan lebih USD100 bilion atau RM320 juta disebabkan kehilangan kedua-dua telaga minyak tersebut, Syed Husin turut mendesak kerajaan supaya tidak bersikap berdiam diri berhubung isu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan