Khamis, 20 Mei 2010

Semua perlu tanggungjawab ‘krisis’ Sime Darby, kata Mahathir

DETIK DAILY

Bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu kesemua mereka yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami konglomerat Sime Darby tanpa hanya dibebankan ke atas Ketua Eksekutif Kumpulan yang telah diminta agar bercuti sebelum tamat kontrak.

“Adakah hanya CEO sahaja yang bertanggungjawab? Siapa lagi yang turut terlibat dalam priojek dan gagal untuk melihat bahawa peningkatan kos adalah tinggi dan projek itu tertangguh hampir tiga tahun,” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini

Bekas presiden Umno ini berkata beliau “merasakan tanggungjawab ini seharusnya dikongsi bersama.”

“Saya telah dimaklumkan mengenai peningkatan kos dan kelewatan ini tiga tahun yang lalu,” kata Dr Mahathir sambil menambah, beliau menyedari masalah berkenaan dari awal-awal lagi tetapi tidak mahu menghebohkan perkara itu kerana bimbang akan didakwa amalkan kronisme.

“Adakah kita ataupun Sime Darby mendapat pengajaran dan (sudah) mula melihat ke atas projek-projek yang ia sedang kendalikan?

“Saya merasakan orang ramai berhak untuk mengetahui apabila sebuah syarikat awam mengalami kerugian berbilion ringgit.

“Proton hanya kerugian RM500 juta, ia boleh diterima. Adalah kerugian RM1 bilion boleh diterima?” katanya.

Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa bidaan mendapatkan projek Bakun dibuat dengan harga yang rendah dan siapakah konsultan yang memandu Sime Darby dalam kes tersebut.

“Bagaimana mereka memberikan OK kepada kos yang rendah bagi projek berkenaan,” katanya.

Dr Mahathir melontarkan pandangan ini ketika Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam petang tadi berkata beliau sedia meletakkan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas apa yang dialami syarikat itu sekarang.

Musa merupakan salah seorang bekas timbalannya, yang meletakkan jawatan pada 1986.

“Untuk meletakkan masalah tidak menjadi masalah... apabila saya membuat penilaian saya sendiri, jika perlu, ya, saya bersedia. Adakah perlu saya dipecat? Ya!

“Adakah perlu digantung? Ya. Keseluruhan lembaga atau apa sahaja,” kata beliau mengulas pandangan pelbagai pihak tentang kegagalan ahli lembaga pengarah dalam tugas pemantauan mereka.

Bagaimanapun Musa berkata, beliau menyerahkan kepada pemegang-pemegang saham untuk menentukan sama ada perlu atau tidak lembaga pengarah meletakkan jawatan mereka ekoran nasib dialami Sime Darby.

Perkasa, antara pihak yang mendesak agar kesemua ahli lembaga pengarah Sime Darby Berhad harus meletakkan jawatan bagi memikul yang direkodkan berikutan lebihan kos dalam beberapa projek tenaga dan utiliti konglomerat itu.

Perkasa menegaskan beban tanggungjawab tidak harus diletakkan pada bahu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid semata-mata, yang telah diminta bercuti sementara kontraknya berakhir 26 November ini.

Selain itu, Perkasa juga mendesak kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas termasuk jika perlu suruhanjaya diraja untuk menyiasat ‘krisis’ korporat terbaru negara ini.

Musa berkata, berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).

OSK Research Sdn Bhd berkata, punca bagi masalah Sime Darby adalah kerana syarikat itu adalah terlalu besar dan terlalu dipelbagai untuk diurus dan dikawal dengan betul.

Oleh kerana itu, adalah tidak wajar untuk menyalahkan kos konglomerat yang berlebihan sebanyak RM964 juta itu dipertanggungjawabkan kepada Zubir semata-mata.

Berhubung soalan sama ada Sime Darby akan menyusun semula operasinya supaya ia berada dalam kedudukan unit-unit strategik yang boleh ditadbir dengan baik, Musa menjawab, ia bergantung kepada pengurusan jangka panjang.

“Bermakna setiap opsyen yang ada akan dilihat dengan teliti demi kepentingan pemegang-pemegang saham,” kata Musa sambil menambah, beliau akan meneliti perkara teliti.

“Saya bukan orang yang memberi reaksi dan (cepat) melompat. Tidak! Ia bukan stail Musa,” katanya.

“Saya akan meneliti satu demi satu, dengan cara saya sendiri, secara metodologi,” katanya.M/I

Tiada ulasan: